S.Lufia sayang... Cikgu epuLL cinta kamu...

Motif Lakaran Blog

Blog ini di bina untuk menghimpunkan kenangan terindah yang pernah tercoret di dalam diari S. LUFIA. Semua memori yang terukir disemadikan dalam tarian kata dan gambar agar ia terus mekar walau seribu tahun bertakhta di bumi Tuhan. Dalam masa yang sama, S. LUFIA turut mengasah bakat mengarang novel jiwang sekadar memenuhi tuntutan ilusi dan imaginasi yang kekadang terhimpun tanpa tersemai benih-benih bermakna.

Tuesday, August 3, 2010

BAHAGIAN LAPAN


*Gambar sekadar hiasan

BAHAGIAN LAPAN

Sulaman manik keemasan jahitan tangan menyerlahkan keanggunan seorang pelanggan Liana. Seorang gadis berambut ikal mayang hadir bertandang ditemani bakal nakhoda pengemudi bahtera rumah tangganya. Mencuba persalinan songket asli moden berlatar kebiruan pantai yang sungguh damai. Namun tidak sedamai hati Liana. Menghitung hari menilik kata hati yang masih belum sembuh. Seri wajahnya juga tidak seseri wajah pelanggannya yang bakal meneroka gerbang perkahwinan. Menyempurnakan kemuncak cinta agung yang telah dibina. Alangkah indahnya andai Razwan dan Liana bersatu seperti mereka.

Baby, cantik tak ayang pakai ni” rengek anak gadis itu kepada lelaki yang asyik membelek-belek kot hitam yang tergantung di satu sudut butik. Dia menari sambil memusingkan badannya di hadapan cermin. Lagak seperti kakak tiri Cinderella yang angkuh.

You pakai apa pun cantik my honey” Puji lelaki tinggi lampai berwajah campuran Melayu dan India. Mirip anak mamak di Restoran Bistro yang sering dikunjungi Liana tatkala perutnya berkeroncong di tengah malam. Gadis penyeri hidup lelaki itu semakin menjadi-jadi rengekannya apabila mendapat pujian sekilas dihadiahkan satu cubitan manja di pipi gebunya.

‘Apahal lah minah ni
over saja. Kalau benar pun nak mendapat suami tak perlulah buat pertunjukan amal depan aku. Nak bagi aku jelouse ke? Tapi andai Razwan berbuat begitu kepada ku, alangkah romantiknya. Huh, menggatal pulak aku! Oh tidak!’ hati Liana seolah merintih. Liana merenung tajam ke dalam almari cermin yang mempamer gaun pengantin rona putih bersih berenda bunga dan berhias sulaman mutiara dari borneo. Dia membayangkan gaun itu melekap ditubuhnya. Sungguh indah saat itu.

“Kak, kalau saya nak kecilkan baju ni bahagian pinggang sedikit okey tak? Nampak macam sarung nangka saja” ujar pelanggan wanita itu meminta pandangan. Tangan kanannya diangkat membetulkan kedudukan kaca mata hitam yang digayakan seperti cekak rambut di kepala. Liana kaku tanpa bicara. Matanya tidak berkedip. Entah sudah sampai ke benua mana fikirannya menjelajah.

Hello, kak. Are U still here?” tegur wanita itu lagi. Kali ini dengan nada yang lebih kuat membenamkan ladung pelayaran Liana. Dia tersentak.

“Oh, ya! awak kelihatan cantik dengan songket ini. Akak suka” Liana berkata separuh gagap. Album gambar koleksi pakaian di Sweet Princess Boutique ditutup terus tanpa dirancang. Dia lantas melirik senyuman kepada gadis di hadapannya. Senyuman memikatnya jelas tampak palsu dan dibuat-buat.

“Kak...”

“Panggil saja saya Kak Lia” pintas Liana memperkenalkan diri. Dia terasa janggal sedari tadi pelanggannya itu memanggilnya ‘kak’. Seolah tiada bernama dan tiada kemesraan. Hubungan yang lebih erat perlu wujud antara pengusaha dan pelanggan agar urusan perniagaan akan menjadi lebih dekat dan mesra.

“Okey, Kak Lia boleh tak
adjust sikit lagi potongan songket ni di bahagian pinggang. Nak bagi nampak cutting cikit” jelas gadis itu. kali ini setiap butir bicaranya didengari.

“Boleh, mudah saja tu dik. Tapi kak Lia risau nanti adik tak selesa pula bila duduk. Terjerut bahagian pinggang nanti. Lagipun potongan yang akak buat ni memang mengikut ukiran
time adik datang buat tempahan dulu” terang Liana sambil berdiri melihat tubuh pelanggannya itu dari setiap posisi yang berbeza.

“Tak mengapa Kak Lia, saya selesa saja. Lagipun nanti hari persandingan tu nanti saya pakai bekung, tak ada masalah punya. Kalau macam ni, sia-sia saja saya ikat perut selama ni. Kenalah tunjuk hasilnya. Bagi semua orang nampak” suara gadis yang bakal menamatkan zaman bujangnya sedikit
over seperti mengajar Liana. Namun dia tetap mengukir senyum menampakkan sepasang lesung pipit yang menjadi aset dirinya tampak lebih menawan.

‘Degil pula budak ni. Aku tahu lah, dah ada kes macam ni. Potongan yang tidak sesuai hingga nak bergerak pun susah. Macam kena bedung dengan kain batik. Kalau nak tunjuk
cutting cantik pun berpada-pada lah’ hati Liana menggerutu sendiri. Tidak puas hati dengan pelanggannya yang cerewet tidak bertempat. Karenah mengalahkan Dato’ Siti Nurhaliza hendak membuat tempahan. Padahal rumah setinggan saja kot? Hatinya terus menggetus. Dia bukan apa, cuma masih panas dengan masalah yang membelenggu kantung jiwanya. Semua mahu dihimpit sekali. Dia cuba mengawal dengan tenang.

“Baiklah, mari akak ambil ukuran semula. Akak rasa paling kurang pun boleh seinci saja lagi. Kalau lebih nanti tak cantik” ujar liana sambil mengacukan pita ukur di tubuh langsing pelangganya itu. Nota dicatat sebagai peringatan.

“Anyway kak Lia, jangan lambat pulak siap tau. Dua minggu saja lagi saya nak jadi permaisuri. Risau saya kalau tak siap. Nanti berkemban saja saya hari persandingan nanti. Pengantin jawa pun kalah” gurau wanita itu selamba. Pandai berjenaka juga walau tampak sombong.

“Semua ditanggung beres datin. insyaAllah akak akan siapkan secepat mungkin. Adik usah risau. Adik mesti menyerlah punya dengan songket dari butik akak.
Don’t worry okey” Liana memberi jaminan terbaik kepada pelanggannya. Mulut mesti manis melayan setiap pelanggan yang membeli khidmatnya. Itu sudah menjadi pegangan dirinya walau apa jua keadaan yang menimpa.

***

Segala rundingan telah pun selesai. Perubahan yang dibuat pada potongan baju sebentar tadi bakal disiapkan segera. Rasa penat melayan karenah pelanggan telah surut. Butik berusia empat tahun yang diusahakan secara perkongsian bersama sahabatnya kini kian maju setapak demi setapak. Mereka sudah punyai beberapa pelanggan tetap. Ada juga orang kenamaan yang memilih khidmat mereka dan hasilnya amat memuaskan. Liana boleh menarik nafas lega setelah sekian lama meredah liku-liku sebagai seorang usahawan muda. Satu persatu cabaran ditempuhi sejak butik tersebut mula berdiri. Lelaki bernama Razwan Mikail adalah antara insan yang sentiasa memberi dorongan dan semangat kepadanya andai hatinya hampir rebah di pertengahan jalan. Jasa lelaki itu sentiasa tersemat di sanubari.

Suasana butik sepi tanpa kehadiran pelanggan. Papan di dada pintu butik yang tertera perkataan
open telah bertukar close. Sudah menjadi adat bagi mereka menutup tirai kelambu yang memberi rezeki buat seketika tatkala memberi ruang rehat dan bersujud. Maha suci Allah tidak pernah dilupakan walau sesibuk mana dia bekerja. Perjanjian seorang hamba dengan Tuhan tetap bersatu dengan rohaninya. Lagipun dengan berkat dari-Nya juga dia mampu bangkit ke mercu jaya hingga ke hari ini.

Kesempatan masa rehat digunakan sebaiknya. Liana melabuhkan punggungnya di sofa rona pink di sudut tetamu. Mulutnya tidak henti mengunyah kek kismis yang dibekalkan mama pagi tadi. Sedap merasa air tangan ibu. Dia mencapai majalah wanita yang terdampar di atas meja kecil dihadapannya. Setiap helaian diselak malas. Tiada apa isu yang menarik untuk dibaca. Kepalanya lebih tertarik untuk memikirkan tentang Razwan. Dia benar-benar rindu. Namun hatinya masih berkecamuk. Sampai bila amarah wanitanya akan dipadam. Apakah dia ingin menguji kesabaran seorang lelaki? Dia bernasib baik mendapat kekasih seperti Razwan yang boleh bertahan dengan karenahnya yang kadang kala tegas tidak bertempat. Kasihan lelaki itu.

“Kau ni apa hal Lia? Semenjak dua menjak ni mengelamun saja, sampai pelanggan datang pun tanya aku tentang masalah kau” soal shahila, rakan kongsi perniagaan yang setia dengan Liana. Tangannya lantas mencubit sedikit kek kismis di tangan kawannya lalu disuap ke mulut. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Liana.

“Aku okey saja. Apa yang lainnya? Cuma aku termenung mengingat Tuhan, mana kot tahu kalau-kalau Izrail datang memanggil sekejap lagi” balas Liana selamba. Majalah yang dibaca dicampak ke meja. Dia tahu kawannya itu mahu mencungkil rahsia. Kek di tangan terus dimakan. Dia tidak berminat untuk mendedah ceritanya. Kelak ramai pula nanti orang yang bertanya.

“Alahai Lia, kau jangan nak tipu lah, muka dah macam ayam tak berak seminggu. Ko gaduh dengan encik abang kau ya?” tanya sasha serkap jarang. Dia juga mengenali buah hati Liana yang satu. Butik itu pernah penuh dengan jambangan bunga pemberian Razwan suatu ketika dahulu ketika cinta baru mula berputih. Taktik lelaki memikat perempuan dengan kuntuman bunga. Dia kurang suka sebegitu. Bunga yang segar akan layu jua akhirnya. Membazir sahaja. Kalau diberi coklat cadbury atau kek sepuluh tingkat boleh juga mengisi perut sang kekasih. Masing-masing punya citarasa sendiri.

“Tak gaduh pun, cuma kecil hati saja dengan sikap dia.” Liana berterus terang.

“Bilanya
start terasa hati ni tuan puteri?”

“Hari tu
time aku pergi Melaka tu. Kan aku ada ajak kau tapi kau nak pergi melawat adik ipar kau bersalin. Nak jadi bidan lah kononnya” ujar liana membalas persoalan Sasha. Tupperware yang hanya terkandung sepotong kek kismis diketuk-ketuk perlahan seperti gendang.

“Oh ya! Dia tak pujuk kau ke?”

“Ada saja”

“Habis tu kenapa kau
still monyok jer ni?”

Because i like this. Huh, kau ni tanya aku macam wartawan lah. Kau nak buat laporan majalah ‘Hai’ atau ‘mangga’? Tak pun majalah ‘wanita’?” balas Liana berseloroh. Dia tidak suka mendedahkan hal peribadi dirinya. Dia lebih suka menyelesaikan sendiri. Paling teruk pun Liana akan mendapatkan khidmat mamanya untuk menyelesaikan kekusutan.

“Iya lah.
I kan nak ganti penulis ruangan ‘jarum emas’. Eleh, ko jangan jual mahal sangat Lia. Razwan tu dah pujuk terima saja lah. Nanti dia give up and cari lain, kau jugak yang menangis berlagu teratai layu di tasik madu” gurau Sasha diiringi gelak tawa. Liana hanya tersenyum dengan telatah rakannya itu. Dia sudah masak dengan perangai Sasha yang sentiasa gembira tanpa dirundung masalah. Hidup wanita itu hanya bertemankan keluarga dan kawan-kawan biasa. Tiada yang teristimewa di hati. Dirinya masih belum ada yang punya. Dia lebih suka begitu. Bebas tanpa perlu terikat dengan mana-mana lelaki.

Dendangan
ringtone tahajud cinta nyanyian penyanyi tersohor tanah air menghentikan perbualan dua rakan kongsi itu. kedua-duanya saling berpandangan. Sasha menghabiskan sisa ketawa. Tangan Liana pantas mencapai telefon bimbit yang tersangkut di lehernya. Ditenung lama nama yang tertera. Dia berkira-kira untuk menekan butang menerima panggilan itu. Hatinya bergurindam antara dua. Ya atau Tidak.

‘Haruskah aku terus berdiam menagih pujuk rayu Razwan’

Salah satu butang di dada telefon bimbit di tekan lantas diletakkan di telinga kanan Liana. Suara garau Razwan berkumandang. Bibirnya ingin mengungkap bicara namun begitu berat terasa. Dia gagahi juga untuk melontar kata.

“Terima kasih kerana menghubungi talian puteri emas ini. Sila tunggu sebentar, anda akan dilayan sebentar lagi. Harap maklum” Liana bingkas bangun dan berlari menuju ke ruang peragaan pakaian pengantin. Sasha ditinggalkan berseorangan di tubuh sofa. Dia tidak mahu kawannya itu memasang telinga menangkap surat perbulannya itu. Hatinya tiba-tiba lembut seperti agar-agar. Butir bicara yang tadinya tergendala disambung semula. Jeruk rindu yang terperam sekian lama tidak mampu menahan aroma cinta. Suatu babak dalam episod cinta yang bakal terpahat di dalam buku diari Razwan. Bunga yang kuncup menjadi mekar semula.

Don’t make it again. Promise!”

No comments:

Related Posts with Thumbnails