S.Lufia sayang... Cikgu epuLL cinta kamu...

Motif Lakaran Blog

Blog ini di bina untuk menghimpunkan kenangan terindah yang pernah tercoret di dalam diari S. LUFIA. Semua memori yang terukir disemadikan dalam tarian kata dan gambar agar ia terus mekar walau seribu tahun bertakhta di bumi Tuhan. Dalam masa yang sama, S. LUFIA turut mengasah bakat mengarang novel jiwang sekadar memenuhi tuntutan ilusi dan imaginasi yang kekadang terhimpun tanpa tersemai benih-benih bermakna.

Monday, July 12, 2010

BAHAGIAN SATU


~BAHAGIAN SATU~

Satu persatu anak rumput dicabut rakus. Razwan terbiasa begitu. Dia tidak suka melihat pusara datuknya ditumbuhi rerumput yang meliar. Sikapnya memang harus dipuji. Namun tanpa disedari dia seperti meragut harapan makhluk yang menghijau di tanah merah kubur itu untuk terus hidup menikmati usia yang hanya seketika cuma. Kejamkah aku? Tak kan nak dibiarkan kubur Tok Wan berhias semak. Hatinya mengomel sendiri. Jari-jemarinya terus ligat bertindak.

Tanah yang tadinya ditumbuhi rerumput sudah lapang dikerjakan Razwan. Dia lantas membetulkan duduk. Dia memilih duduk di penjuru kanan sebelah batu nisan yg tertera nama Abdul Malik Bin Raziah. Tarikhnya juga jelas terpapar 13 Rejab 1425 H. Jug kaca berisi air diletakkan di hadapan batu sungai yang tercoret tulisan kaligrafi arab. Indah dan bermakna. Kitab Yassin yang dibawanya dibaca khusyuk. Zikir mengalun syahdu. Hati memohon keredhaan yang maha Esa.


Masa berlalu pantas. Sudah hampir dua tahun datuk meninggalkan Razwan mengadap Maha Pencipta. Ketika itu dia sedang sibuk dengan tugasan tahun akhir di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada saat-saat itulah dia kehilangan orang yang disayanginya. Termenung berminggu di bilik Za'ba. Hampir gila dia menerima dugaan Ilahi. Apapun jua berlaku, dia tetap reda dengan ketentuan-Nya. Adat manusia yang pergi tidak akan kembali. Namun kerinduan sering mengusik pangkal jiwa. Kadang-kadang tanpa terduga manik jernih turut gugur mengikut naluri pilu. Manakan tidak terkenang detik gembira bersama insan tersayang. Lakaran peristiwa yang tidak mungkin akan terpadam.

“Abahnya layanlah cucu awak tu, alamatnya tak masaklah kari kepala ikan kegemaran awak ni. Santan dari tadi saya dah pesan tak juga muncul-muncul,” bebel nenek seolah-olah cemburu melihat gelagat suaminya yang asyik melayan cucu sulong mereka.

“Alahai nenek ku, janganlah engkau rajuk begini, cucunda mu ini tidak akan merampas kasih sayang suami mu ini.” Razwan mencelah dengan lenggok tangan berpuisi. Sengaja mahu melonggarkan urat nenek yang geram. Datuk hanya melirik tersenyum.

“Ish budak ni, ada juga yang kena makan senduk cap Buaya ni karang” nenek membidas lembut.

“Tok Wan, tengok ar Nek Wan ni. Nak jadi pengganas pulak, memain dengan senduk kontot pulak.” rengek Razwan yang dibuat-buat. Dia menghampiri datuknya lalu memeluk erat pergelangan si tua itu.

“Alah awak ni Limah, cucu nak bermanja pun tak boleh. Nanti dialah yang akan teman saya ke mana-mana. Untung-untung dia jugalah yang doakan saya bila saya tiada nanti” akhirnya bersuara juga datuk yang berumur hampir separuh abad itu. Razwan masih berpaut dipergelangan tangannya.

“Iyalah, siapa tak sayang cucu abahnya, tapi sekarang dah nak tengahari. Matahari dah nak segalah. Nanti tak sempat pulak saya nak masak.” nenek terus memberi pesanan. Sesekali cuba merapati datuk untuk mencari peluang mencubit cucunya yang nakal.

Razwan terus-terusan mengekori Tok Wan. Datuk tidak mahu terus membalas kata Nek Wan. Risau andai tiada kesudahan. Perempuan biasalah dengan tabiat suka berleter. Tambahan pula di usia begitu. Jika dilayan sampai esok pagi pun tidak akan habis. Silap-silap setiap baris kata boleh dikarang menjadi novel.

I don’t like perempuan muda kuat berpidato kosong mcm mak nenek” tiba-tiba terpacul suara itu tanpa diduga. Tuk wan melihat menjegilkan mata.

Enjin motosikal dihidupkan. Razwan menjadi pembonceng yang setia. Dia bersandar pada raga buah yang diletakkan di bahagian belakang motosikal Tuk Wan. Kalau musim buah, raga itulah yang banyak berjasa. Diusung durian dan rambutan dari dusun. Kelibat motosikal yang dinaiki dua insan itu kian mengecil dan menghilang. Yang tinggal hanyalah kepulan asap yang berterbangan mencari keserasian di udara.

Nek Wan bersendirian di dapur membersihkan kepada ikan nyok-nyok yang dibeli dipasar malam semalam. Dia tahu itulah makanan kegemaran suaminya dan diturunkan pula kesukaan itu kepada anak lelakinya, Zulkifli. Dia juga tahu resipi itulah yang menjadi pemikat suaminya ketika baru mula berkenalan dulu. Tapi itu semua kisah lapok. Masa kian berlalu tanpa menoleh.

“Anak ni kerap Pak Cik Nampak datang ke sini semenjak dua menjak ni. Anak baru berpindah ke di sinikah?” persoalan seorang lelaki dalam usia 30-an mengejutkan Razwan dari imbauan kisah gembira. Matanya bertentang dengan lelaki itu.

“ Pak Cik ni orang sini jugakah?” soalan yang dijual, dibeli dengan soalan kembali. Razwan sedar katanya tidak menjawab persoalan lelaki hitam manis yang kebasahan bajunya. Keringat yang berjujuran bagai hujan menimpa lelaki itu.

“Oh, saya bukan orang sini tapi sedang bercuti. Student cuti saya pun cutilah, tapi tidak lama seperti cuti budak-budak. Pulang ke kampung menjenguk nenek. ada masa terluang saya datanglah ziarah pusara datuk.” Panjang pula jawapannya kali ini. Tangan kedua mereka bertaut mengerat hubungan.

“Bagus ar begitu, saya ni kerja menggali kubur di sini. Tengah malam semalam ada anak orang kampung meninggal. Accident motor. Merempit kot. Tu yang ade keje ni, baru lepas selesai.” terang lelaki itu sambil mengusap tunggul-tunggul janggut yang tidak dicukur rapi.

Razwan memang ramah bertegur sapa. Panjang lebar dia bercerita tentang dirinya yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota. Sebuah sekolah satu sesi di Melaka. Selepas berbual panjang, masing-masing mengikut haluan. Lelaki penggali kubur itu perlu segera pulang. Alasannya ada jemputan kenduri doa selamat dan cukur jambul anak jiran. Boleh dia bertahan menggali tanah setiap hari. Aku tidakkan terdaya. Syukur diberi rezeki bertugas sebagai seorang guru. Bisik hati Razwan.

Anak teruna yang berbaju t-shirt Diadora dan berseluar jeans itu meratap kembali pusara datuknya. Berkira-kira mahu pulang. Bahang kerinduan melemahkan lututnya. Dia kembali bertenggong. Batu nisan diusap sayu. Jug kaca berisi air yg sudah sebati dengan ayat suci disiram di atas pusara. Air siraman meresap ke setiap liang tanah. Razwan masih tercangok berdiri. Matanya masih berpusat di pusara datuknya. Begitu kasih dan rindu akan Tuk Wan. Orang tua itulah tempat dia bermanja menumpang kasih selepas kematian ibu bapanya.

Razwan menjadi yatim piatu seawal usia enam tahun. Masih mentah untuk mengenal erti kehidupan. Tragedi ngeri di Lebuh Raya Jelapang meragut nyawa kedua-dua insan tersayang. Ramai nyawa menjadi mangsa di tempat berpuaka itu. Tidak mampu meneroka kenangan duka. Dia bingkas bangun mengibas seluar yang sedikit kotor. Panahan mentari yang kian mengigit dataran kulit seolah menyuruh dirinya pulang.

“Tok Wan, Kael pulang dulu ya, nanti ada masa kael datang lagi,” anak muda itu bersuara sendiri. Tiada siapa disekeliling dapat mendengar. Namun dia tahu roh datuknya dapat menghidu akan kehadirannya.

Berat kaki melangkah diturut jua...

No comments:

Related Posts with Thumbnails