S.Lufia sayang... Cikgu epuLL cinta kamu...

Motif Lakaran Blog

Blog ini di bina untuk menghimpunkan kenangan terindah yang pernah tercoret di dalam diari S. LUFIA. Semua memori yang terukir disemadikan dalam tarian kata dan gambar agar ia terus mekar walau seribu tahun bertakhta di bumi Tuhan. Dalam masa yang sama, S. LUFIA turut mengasah bakat mengarang novel jiwang sekadar memenuhi tuntutan ilusi dan imaginasi yang kekadang terhimpun tanpa tersemai benih-benih bermakna.

Friday, August 13, 2010

BAHAGIAN SEPULUH

*Gambar hanya hiasan

BAHAGIAN SEPULUH

Sudu dan garfu berlaga-laga. Nasi goreng belacan disua ke mulut. Timun dan telur mata kerbau menambahkan keenakan membuka selera pagi itu. Kelibat wanita yang sering dinanti belum muncul pagi itu. Razwan tidak boleh lama menunggu. Dia punyai urusan pagi itu. Due date penghantaran laporan tugasan semester ke empat sudah sampai ke penamat. Dia memang begitu. Hari itu diminta menghantar hari semalam baru bersengkang mata. Tabiat buruk yang tidak pernah pudar. Namun hasilnya tetap gempak mempamer jaya.

Hiasan bunga ros merah di meja Restoran Puteri Bongsu menaikkan seri suasana pagi itu. Melodi berentak padang pasir menjadi halua telinga pelanggan yang bertandang. Teh O panas dihirup perlahan. Nikmat pagi itu mengejutkan deria rasa Razwan. Lidahnya gagal memberi maklum balas. Apakah deria miliknya tidak sesensitif dulu untuk merembes air liur dan mengesan rasa? Hanya panas menggigit lidah. Mustahil lidahnya begitu. Nasi goreng yang dikunyah terasa rencah belacannya. Telur mata kerbau terasa nikmat telur kuningnya yang cair melekit. Enak lagi lazat. Air itu dihirup sekali lagi inginkan kepastian. Sama seperti tadi. Tawar tanpa kemanisan.

Kaki Razwan automatik tegak berdiri. Dia melangkah ke kaunter memesan makanan memaklumkan dengan tenang. Cawan berisi teh O tanpa gula bertukar tangan. Usai menambah gula, air itu dikacau perlahan. Melarutkan molekul-molekul gula yang manis. Razwan mengambil kembali cawan itu lalu beralih menuju ke tempat duduk. Menghabiskan nasi goreng yang masih bersisa. Namun belum sempat tiba, tragedi Julai tiba-tiba merudung. Dia terbabas melanggar seorang gadis lalu hilang keseimbangan badan. Cawan ditangan turut bergegar. Air yang tadinya penuh telah berkurang. Memercik ke satu tubuh beralas baju kurung moden rona kuning keemasan. Seolah kerabat diraja turun takhta. Dia kaget.

“ Ya Allah” hanya sepatah kata terpacul dari mulut gadis itu.

“Ma.. maaf. Abang.. Eh, Saya tak sengaja! Sor.. sorry” ujar Razwan tergagap-gagap. Bibirnya kelu untuk melontar kata.

“Hai saudara! Lapar sangat ke? Sampai tak sempat-sempat nak makan. Habis basah baju saya ni. Air manis pulak tu. Ish!” gadis bertudung rona pelangi itu menyindir. Dia tidak selesa diperlakukan begitu.

“Tapi saya tak sengaja. Saya nak cepat, ada urusan nak kena settle” Razwan memberi alasan. Alasan yang dibina sememangnya tepat tanpa rekaan.

“Okey lah. Whatever”

“hrmm... saya belanja saudari hari ni, sebagai tanda minta maaf. Boleh?” Razwan serba salah. Itulah wanita yang dinanti setiap pagi. Itulah juga wanita yang dilanggar pagi itu. Semua berlaku tanpa dirancang. Seluruh hormonnya tiba-tiba berkeroncong. Kebas satu badan berbaur getaran jiwa.

“Oh, tak mengapa. Tak perlu susah-susah. Awak pergi cepat makan. Nanti terlambat pula settlekan tugas awak. Saya tak mau tanggung rasa bersalah pulak nanti” balas gadis berkasut hitam seinci tumitnya itu selamba.

‘Sindir aku pula minah ni. Tertumpah air sedikit sahaja tapi seolah disimbah cuka. Action jer lebih. Perempuan macam ni kalau dapat best juga buka gelanggang berdebat. Silap-silap nangis jer kalah dengan aku. Aku ni tak buka langkah lagi’ hati Razwan berbisik. Panas disindir begitu. Wajah yang manis dipandang tajam. Berkira-kira mahu menepis kata perbaiki omelan gadis itu.

“Saudari yang cantik manis, awak memang pandai berkias. Anyway, saya tak kisah pun. Tapi Cuma satu saya nak kisahkan. Cantik keronsang kat tudung awak. Motif fauna, mesti saudari ni pencinta binatang kan?” kata-kata Razwan beriring tawa yang tertahan. Matanya menjeling ke arah kerongsang yang dimaksudkan.

“kerongsang? Saya tak pakai kerongsanglah. Awak nak permainkan saya pula. Baju saya yang melekit kena air manis awak tu pun tak kering lagi, dah nak tambah hal lagi!” gadis itu semakin tidak puas hati dengan kata-kata Razwan. Dirinya seolah tercabar pagi itu.

Sorry, i’m serious. Saya cakap sesuatu yang benar” ujar Razwan. Tenungan matanya masih tertumpu di satu sudut bahagian tudung ekspres gadis itu. Tudung yang menjadi fesyen kaum hawa masa kini. Tidak perlu payah melilit dan melipat bersegi. Hanya disarungkan sahaja di kepala. Gadis yang berdiri tegak di hadapannya perlahan-lahan mengerling ke arah fokus anak mata Razwan. Dia tiba-tiba pegun. Matanya memanah anak mata Razwan kembali.

“Makkkk!!!!” anak gadis bertudung ekspres itu menjerit sekuat hati. Laungan ‘mak’ barnada puluhan harakat mengejutkan seluruh pelanggan di Restoran Puteri Bongsu . Masing-masing melihat ke arahnya. Ada juga yang tidak melepas peluang untuk ketawa. Razwan masih mampu menahan tawa. Namun perutnya seperti mahu pecah menahan hembusan gelak dan tawa yang sarat.

“Eh, awak tolonglah ambil. Buangkan. Tolonglah.” Perempuan dalam usia dua puluhan itu cuak melihat seekor belalang kunyit yang bertenggek dibahunya sebelah kiri. Dia mengibas-ngibaskan tudung. Kasut tumitnya dihentak-hentak. Suara rengekan kian jelas keudara. Hujan tangis seperti mahu melimpah. Belalang yang kehijauan teguh menempel di bajunya. Seolah sudah mangli dengan bau aroma tudung paras dada yang melengkapkan busana ala muslimah yang tersarung di tubuh gadis itu.

“Ha, saya cakap betul! Awak kata saya tipu. Permainkan awak. Saya budak baik lah” sindir Razwan. Tangannya merapati bahagian tudung gadis itu. Dia mengambil belalang panjang sejengkal itu lalu dibuang ke luar restoran. Wajah anak gadis itu ditatap sayu. Razwan juga agak geli memegang binatang itu kerana fizikal binatang itu yang luar biasa dimatanya. Namun digagahi jua mempamerkan keberanian di hadapan wanita idamannya itu.

“Okey, saya dah buang. Dah tak de dah kerongsang” Ujar razwan sambil menyapu kedua-dua tapak tangan di seluar slaik hitam yang dipakai olehnya.

Thanks. Saya minta maaf ya awak” balas gadis itu tersipu malu.

“It’s okey. Tak de hal lah. Perkara kecil sahaja” Razwan menghadiahkan senyuman kepada gadis itu. Tangannya mencapai cawan yang sudah separuh kandungannya. Separuh lagi sudah tertumpah diserap pakaian gadis yang masih tercegat dihadapannya. Dia menyusun gerak ke mejanya.

“Oh, ya. Ini kad saya. Saya ada buka butik selang empat kedai dari restoran ni. Kalau sudi datanglah bertandang” ujar gadis itu begitu lembut. Mungkin rasa barsalah bercampur malu mendorong dia untuk bertindak begitu. Tiba-tiba sahaja bertukar karakter menjadi wanita ramah dan mesra.

“Liana Raudhah Mokhtar, sedap nama tu. Saya Razwan Mikail” Razwan memperkenalkan diri. Kad yang diberi dipandang lama.

“Cik Liana...”

“Encik Razwan” Kedua-dua mereka serentak memanggil. Masing-masing terdiam seketika. Mata keduanya saling bersatu.

“Ya, awak cakaplah dulu”

“Eh, tidak mengapa. Awak lah mulakan” ujar Liana memberi ruang. Beralah kepada Razwan untuk memulakan bicara pertama setelah saat perkenalan.

“Hrmm... jom makan sekali. Saya belanja. Kali ni kalau awak tak mahu terima pelawaan saya, saya tak mahu maafkan awak” Razwan tersenyum mamasang perangkap untuk memaksa Liana bersarapan bersamanya pagi itu. Dia pasti dengan caranya untuk membolehkan dirinya mengenali Liana dengan lebih dekat.

“Alah, awak ni! Saya biasa makan bungkus sahaja. Lagipun kawan saya pun ada tempah sekali. Nanti lama pula dia menunggu nak makan sekali”

“Terpulang pada awak kalau nak terus berpayung rasa bersalah” Razwan seolah mengugut. Namun hatinya risau andai pelawaannya tidak diterima. Bimbang jika peluang yang dinanti terlepas begitu sahaja.

“Okey lah. Saya terima” Liana melirik senyuman. Razwan lantas menunjukkan arah meja yang sudah terhidang nasi goreng belacan miliknya. Liana menempah nasi kerabu berlaukkan telur masin dan solok lada beserta teh tarik. Dia mengekori Razwan ke tempat duduk yang tersedia.

Setiba di meja, Razwan menarik kerusi untuk membenarkan Liana duduk. Layanan seperti makan di hotel lima bintang lagaknya. Razwan cuba sedaya upaya menarik hati wanita yang menjadi halua matanya setiap pagi. Restoran itu memang menjadi destinasi persinggahannya setiap pagi. Sambil menikmati hidangan di pagi hari, di juga menjamah pandangan yang menyinar mata. Bukan perut sahaja mahu kenyang, mata juga turut kenyang setiap pagi.

Liana hanya tunduk tersipu dengan layanan Razwan. Lelaki yang baru dikenalinya. Perkenalan yang bertitik tolak daripada seekor belalang kunyit. Andai tidak disebabkan belalang itu, pasti sampai ke saat itu hatinya masih panas memikirkan karenah lelaki itu yang bertingkah seolah telah berpuasa seminggu. Tidak menyempat ingin menyambar makanan. Walaupun gelojoh namun tampak sopan mengatur bicara dengannya. Pandai berjenaka. Bijak mengumpan ajakan. Wajah tidak kurang tampannya. Gaya lagak insan terpelajar. Hati Liana berbisik sendiri mengomel perihal Razwan.

“Terima kasih, boleh bungkuskan saya mee udang dan Nescafe panas?”ujar Liana kepada pekerja restoran yang lembut melayan pelanggan. Itulah tarikan restoran itu. Hidangan style kampung sahaja tetapi layanan seperti berada di restoran hotel. Nasi kerabu yang dipesan kini berada di depan mata. Sungguh menyelerakan. Namun dia terasa kekok untuk makan. Mata Razwan pula semakin meliar memerhatikannya. Liana menjadi serba tidak kena. Seolah sedang diuji etika pemakanan oleh chef terkenal sahaja. Entah siapa lelaki sebenar dihadapannya. Majisterit? Ahli muzik? Pelajar universiti? Atau anak tuan pengarah syarikat global? Dia berteka-teki di dalam hati.

“Awak ada butik? Bantu ibu ke kat butik?” Razwan memulakan sesi soal jawab. Mulutnya masih mengunyah nasi goreng.

“Tu butik saya, share dengan rakan buat usahasama. Lepas tamat diploma saya malas nak belajar dah. So, saya ambil keputusan untuk buat business. Nak buat sorang-sorang tak mampu. Nasib baik ada kawan nak joint” terang Liana panjang lebar. Dia tiba-tiba punyai tenaga untuk berkata-kata. Lagipun dia sudah biasa berkomunikasi dengan pelanggan yang bertandang ke butiknya.

“Baguslah awak, actually saya ni study lagi. Ambil degree bidang perguruan”

“Oh, ya! Bakal guru lah ni? My mom also is a teacher. Kalau awak minat okey lah. Saya kurang minat bidang tu” Liana semakin rancak berbual.

Best lah awak muda-muda dah boleh pegang duit sendiri. Saya ni nasib baik KPM sponsor. Ada gak rezeki saya nak jadi cikgu” ujar Razwan. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman sedari tadi. Dia berasa sungguh bertuah pagi itu. Dapat beramah mesra dengan gadis yang diintai hari-hari.

Isyarat getaran pesanan ringkas menghentikan perbualan Razwan dan Liana. Razwan pantas mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya. Butang pada papan telefon ditekan. Terpamer satu pesanan yang mengejutkan dirinya. Jam di tangan ditenung tajam. Dirinya kalut. Dia bangun lantas mengeluarkan wang not lima belas dan diserahkan kepada Liana. Pena biru yang tersangkut di poket baju dicapai. Pantas jemari mengukir angka di atas helaian tisu yang tersedia di meja.

“Sorry awak. Saya kena balik U. Ada assignment nak kena submit. Mati saya kalau lewat. Nanti apa-apa hal contact number ni okey” ujar Razwan tidak tentu hala. Dia pantas mencapai kunci motor lalu keluar dari restoran. Nasi goreng yang masih bersisa ditinggal begitu sahaja. Mindanya hanya tergambar wajah Dr. Zarin di fakulti. Seorang pensyarah yang comel namun tegas dan amat tepati masa. Silap-silap hari bulan tugasannya menjadi habuan bakul sampah sahaja. Pengalaman rakan mengajarnya untuk bertindak lebih pantas ketika itu.

‘Apa hal lah mamat ni? Macam nak kena kejar ‘along’ Bukit Beruntung je. Tadi ajak aku makan. Sekarang dah tinggal aku sorang-sorang. Nasib baik ingat nak belanja aku’ Liana pelik melihat gelagat lelaki yang baru menjadi kawannya itu. Dia tidak tahu akan sebab Razwan bertindak begitu. mahu sahaja dia bertanya tadi namun tiada kesempatan. Razwan kelihatan gopoh seperti Sultan Mansur Shah ingin menyambut rombongan Puteri Hang Lipo dari China. Tidak sempat untuk disoal selidik ke mana arah tujuannya.

Selera Liana hilang tiba-tiba. Nasi kerabu yang tadinya enak berselera dipandang muak. Dia meminta pekerja restoran itu membungkus makanannya.dia mahu menyambung makan andai masih ada selera di butik kelak. Hatinya yang mulai senang dengan Razwan bertukar panas kembali. Geram dengan karenah lelaki itu. Meninggalkannya terkapai tiba-tiba. Orang sekeliling memandang seolah ada pergaduhan yang berlaku antara mereka. Terkebil-kebil mata Liana membalas jelingan mata yang memandang.

‘Nanti kau Razwan. Hari ini hari engkau, esok lusa akan tiba hari aku’

No comments:

Related Posts with Thumbnails