S.Lufia sayang... Cikgu epuLL cinta kamu...

Motif Lakaran Blog

Blog ini di bina untuk menghimpunkan kenangan terindah yang pernah tercoret di dalam diari S. LUFIA. Semua memori yang terukir disemadikan dalam tarian kata dan gambar agar ia terus mekar walau seribu tahun bertakhta di bumi Tuhan. Dalam masa yang sama, S. LUFIA turut mengasah bakat mengarang novel jiwang sekadar memenuhi tuntutan ilusi dan imaginasi yang kekadang terhimpun tanpa tersemai benih-benih bermakna.

Sunday, December 12, 2010

BAHAGIAN DUA PULUH EMPAT

 
BAHAGIAN DUA PULUH EMPAT
                                                                                                                         
Kabus tebal berkepulan lalu bersatu bersama puput bayu pagi. Fenomena alam itu mengaburi pemandangan flora bukit yang tumbuh menghijau. Walaupun terlindung namun Liana dapat melihat kesamaran flora itu dengan jelas melalui ilusi hati. Kedinginan menyapa tubuhnya penuh damai. Satu suasana yang amat diidamkan. Tenang tanpa sebarang gangguan hiruk-pikuk kota yang bingit. Semua itu hanya memberi vaksin peransang barah emosi sahaja.
Kaki halus Liana tidak mampu tertahan akan kesejukan. Lantai berjubin rona putih susu itu seakan beralas ketulan ais. Seketika dia bertenggek di balkoni sebuah kediaman aras tiga Strawberry Park Hotel, sudah cukup untuk membuat kakinya kaku membeku. Dia segera masuk ke ruang bilik lalu mencapai selimut tebal di kamar. Baju sejuk yang tersarung ditubuhnya masih belum mampu memberi kehangatan melawan kesejukan kala itu. Hampir menggigil dibuatnya.
‘Andai ada seseorang yang dapat menemani diriku saat ini, alangkah bahagianya’ omelan hati Liana tanpa sedari. Dia tidak dapat berbohong akan samar rasa yang masih kuat terhadap lelaki yang pertama bertakhtanya itu. Dia amat mengenali lelaki itu setelah bertahun bermain perasaan bersama tanpa jemu. Lama-kelamaan kewarasan akalnya mula menilai kebenaran yang tertusuk di sebalik belukar episod hitam Razwan.
Telefon bimbit yang digenggam sedari tadi menghitung waktu untuk menanti panggilan. Gelombang suara yang amat rindu untuk didengari. Namun hanya mimpi yang terbayang. Liana gagal menangkap akan panggilan yang pernah dibuat oleh Razwan berulang kali kerana bateri telefon yang amat lemah tika itu. Tambahan pula deringan hanya suatu getaran tanpa suara. Ada sahaja lencongan penghalang yang menduga.
Liana juga tidak mengetahui akan sangkaan Razwan yang menggila apabila panggilan terakhir itu termati tanpa diketahui punca. Betapa lelaki itu sangkakan dia diacah untuk merayu kesetiaan. Mana tidaknya, hantaran bicara di email kata begini tetapi apabila dihubungi begitu pula jadinya. Sesiapa sahaja yang berada di tempat Razwan akan pedih merasa azab cinta itu.
Cinta yang yang bertamu jika tidak dilayan memang tidak tertawan. Memang ia akan hadir sendiri untuk menyapa hati. Andai hari-hari lalu asyik terbiasa merindu saban hari manakan pula mampu tertahan arus rasa yang mengalir itu. Walau sudah diikat saluran itu pasti akan teralir juga walau setitis rindu. Inikan pula cinta mereka yang hanya bermandi suram syak yang tiada lingkar kebenaran. Sah-sah voltan kasih itu terus mengalir walau disentuh penebat pemusnah.
Jejak langkah dituruti ke kamar mandi yang cukup besar dan selesa. Andai hendak menelaah pelajaran sekali pun amat sesuai agaknya. Namun berpada-padalah kalau pun taksub hendak belajar di ruang itu. Cermin berbentuk bulat yang tergantung di sudut setentang bukaan pintu bilik itu menampakkan rambut Liana yang tidak tersisir rapi. Dia tersenyum melihat bayang-bayangnya sendiri. Rambut yang berjurai dikibas ke belakang lagak model iklan shampoo. Angan-angan yang tidak tercapai oleh akalnya. Mustahil untuk dia mendedahkan mahkota kepalanya itu kepada umum. Kalau hendak mendengar ceramah mama tujuh hari tujuh malam mungkin dia boleh berbuat begitu. Lagipun Liana juga punyai prinsip termasuk dalam soal hukum yang harus dipelihara.
Tab mandi yang berhias aneka bunga mewangi mula dipenuhi air. Takungan air itu sudah dilaraskan darjah kepanasan agar tidak panas dan tidak pula sejuk. Sesuai untuk berendam dengan aman. Rambut yang ikal digulung rapi membentuk sanggul. Sarung plastik khas yang tersedia di dalam dulang bersebelahan sinki diambil lalu dibungkus bahagian rambutnya. Tubuhnya bakal dimanjakan dengan terapi mandian seperti spa lagaknya. Namun belum sempat kakinya melangkah ke dalam tab mandi, kedengaran telefon bimbitnya menyanyi memberi isyarat panggilan. Kaki yang sudah selangkah diundurkan kembali. Ikatan temali bajunya dikemaskan.
“Adoi, lupa pulak nak off handphone ni. Aku nak berendam pun tak senang” bebel Liana sendiri apabila keluar dari bilik air.
‘Adakah panggilan dari awak?’ getus hati Liana meramal. Dia berjalan pantas ke arah punca deringan itu lalu menatap nama pemanggil di skrin telefon bimbitnya.
‘Nek Wan?’
**********
‘Ada benarnya kata Nek Wan. Keikhlasan kata itu juga yg aku fikirkan sekian lama’ bisik hati Liana sendiri. Tiada sesiapa yang boleh berkongsi cerita bersamanya tika itu. Sengaja dia tidak mahu mengganggu mamanya. Dia sudah menyimpul keputusan untuk bersendiri di situ, maka tiada sesiapa yang boleh mengganggu dan diganggu.
“Kael tu lelaki yang bendul sikit kadang-kadang Yana” perbualan nenek terngiang di daerah deria dengarnya. Kelucuan dalam nasihat. Dia tersenyum kecil.
‘Memang kau bendul bila ternampak perempuan. Pantang ada perempuan yang memujuk rayu, longgar segala sendi. Semua mahu diturut sahaja’ desis hati Liana lagi.
“Dia banyak cerita hal yang berlaku antara kamu berdua. Sampai menitik air mata Kael cerita kat Nek Wan. Tu tandanya dia sayang Yana. Berkali-kali Nek Wan pujuk dia suruh jumpa Yana tapi dia bimbang Yana tak boleh terima dia. Dia nak Yana reda dulu katanya. Lagipun dia sibuk dengan kerja kat sekolah. Cinta, cinta jugak tapi cita sebagai guru tu tanggungjawab dia jugak” pesan nenek yang kembali berdesing di telinga. Segala yang dikatakan Nek Wan tiada yang dapat disangkal. Nek wan tidak berbohong. Daripada kata itu juga dia dapat menilai kekasih hatinya itu.
“Nek Wan harap sangat Yana dapat bagi peluang dekat Kael untuk buktikan kasih sayang dia pada Yana. Cinta tu ibarat lilin Yana. Sentiasa menyala dalam nurani yang tulus. Andai tidak diganggu kilauan cahaya itu, teranglah ia sampai bila-bila. Tapi kalau Yana potong sumbunya, lilin tu akan cepat cair dan akhirnya sinar itu akan hilang, terpadam. Yana nak kehilangan sinar kasih itu?” satu persatu bualan semalam di singkap kembali. Pandai orang tua itu bermadah pujangga. Pasti terpengaruh dengan angin kasih cucunya. Pedih telinga Yana namun dia juga akui semua itu. Kalau benar angkara anasir itu, manakan tidak hatinya kuat berkira-kira untuk terus menampung kolah rindu buat cucu Nek Wan itu.
Liana merenung jauh ke dalam lurah kelopak mawar rona merah hati yang dipegangnya. Perlahan-lahan dia menunduk merapatkan hidungnya ke kuntum bunga itu. Ada bau harum yang menyengat. Sungguh indah ciptaan Tuhan.
‘Aku terima kau bertandang dalam hatiku, tak akan ku halau kau keluar sekejam itu. Tapi di mana kau tika aku amat memerlukanmu?’ setiap rintih hati Liana ketara memberi petunjuk harapan yang tersimpan. Mulut boleh berbohong tetapi hati tiada kuasa yang mampu menyangkal.
Anak tangga dituruni perlahan menuju ke pohon renek mawar dari speasis yang lain. Aneka saiz dan warna kuntum bunga yang mekar mewangi memikat pengunjung yang lalu lalang. Kebanyakan mereka asyik menangkap gambar untuk dijadikan kenangan apabila turun dari tanah tinggi itu kelak. Liana pula tidak minat bergambar. Dia lebih suka menyemadikan kenangan itu di dalam rumpun sanubarinya. Lagipun itu bukan kali pertama dia menjejakkan kaki ke situ sebaliknya sudah berulang kali. Tarikannya hanya satu. Kedinginan yang damai dan taburan bunga berwarna-warni yang memberi ketenangan. Razwan juga pernah menemaninya bercuti bersama keluarga di pusat peranginan itu. Biar berulang kali menjengah ke situ, namun Liana masih belum jemu.
Pepohon berduri rapat-rapat di batangnya itu subur mengeluarkan kuntum-kuntum haruman di Kea Farm, Flower Garden. Setingkat demi setingkat mata Liana menjamah taburan bunga yang kembang berhias di taman indah. Bentuk muka destinasi yang sudah tercipta sebegitu disesuaikan menjadi lereng bertingkat yang disemai dengan aneka mawar dari perbagai jenis keluarga flora itu.
Ada juga kuntum yang hidup tak lama. Berputik kemudian mekar seketika Cuma. Mungkin inilah ibarat kasih manusia. Semakin hari pabila longlai dimamah hayat, maka terpaksa tunduk redup mengalah menyembah bumi. Liana seolah menyelami rintih kelopak bunga mawar yang gugur itu. Tambahan pula sudah hakikat melodi hatinya berlagu bak bunga layu pinta dibelai tika itu. Perlahan-lahan dia membongkokkan diri mengutip kelopak mawar lalu diletak ditapak tangannya.
“Mi, nak nge” kedengaran seorang anak kecil bersuara pelat. Liana menoleh. Terkedek-kedek dia menuruti belakang ibunya sambil dipimpin jemari ayahnya. Anak kecil yang baru belajar bertutur itu menudingkan jari telunjuk ke arah sekuntum mawar di hadapannya.
“Rina nak bunga?” soal ibu muda itu sambil menghalakan kuntum bunga itu merapati wajah anaknya. Tersenyum riang anak kecil itu. Liana terus memerhati gelagat mereka. Kelopak mawar yang masih di tapak tangannya dilepaskan bertaburan ke tanah semula.
“Mangi nge ni” tutur anak kecil itu dalam bahasanya yang pelat namun dapat ditangkap butir bicara itu.
“Memanglah wangi, macam papa kan? Cayang papa sikit?” gurau lelaki muda yang sudah bergelar ayah itu. Pemuda itu kelihatan cukup ceria dan segak bergaya. Dia lantas duduk bertinggung untuk menyamakan paras ketinggian dengan anaknya. Sengaja dia menyua pipi ke arah anak kecil yang comel bertocang dua. Anaknya mengerling sepintas lalu menghadiahkan satu ciuman manja kepada ayahnya. Reaksi spontan yang cukup menyentuh sanubari. Ibunya bertepuk tangan seolah menghargai tingkah laku anaknya itu.
“Pandai anak Ummi”
“Anak papa juga” lelaki itu kemudian menghadiahkan ciuman kasih ke pipi lembut anaknya itu. Terkekek-kekek anak kecil itu ketawa. Amat comel. Pasti dia benar-benar terasa dirinya disayangi.
“Cayang mama pulak” wanita itu cuba melakukan perkara yang sama seperti suamiya. Namun belum sempat dia tunduk, lelaki itu pantas merangkul pinggangnya. Anak kecil itu tercengang-cengang melihat telatah Ummi dan papanya. Hilai tawa manja memenuhi celahan ruang kecil bersebelahan sebuah kedai bunga di taman itu. Liana tersentuh. Dia idamkan saat seperti itu. Entah bila dapat dirasai nikmat kebahagiaan itu. Dia bukan tidak bahagia bersama keluarganya. Malah teramat bahagia. Namun mahligai keluarga yang ingin dibina olehnya itu  menjadi impian. Keinginan yang tidak mampu dibendung. Di kotak fikirnya hanya terfikir satu.
‘Zullrazwan... mengapa kau terus membisu. Tak kan aku yang perlu menangkap debunga cinta itu kembali? Kau yang bakal memimpin. Not me!’ sekali-sekala hati Liana mendengus kesal.
‘Ya Allah, kau bukakanlah pintu hatinya itu’
Langkahan terus maju menerkam rasa yang terpendam. Sejambak bunga mawar segar dari taman itu dibeli sebagai hadiah buat dirinya. Bukan untuk hiasan, bukan untuk kenangan, bukan juga untuk mandian. Hanya sekadar penyunting kasih dan tabiat. Biarpun dia tahu akan penamat bunga itu akan layu namun dia berasa puas kerana mampu menatap dan membawa bersama kesegaran haruman itu. Wanita dan bunga memang tidak dapat dipisahkan. Pasti ada sahaja tafsiran mereka pada kuntuman itu. Inikah suatu cabang cinta yang terungkap tanpa ungkapan dan belaian?
‘Nilai cinta itu bagai azimat suci buat manusia, walau ia tersembunyi tetapi pabila terluah secara lahiriah pasti terserlah suatu nikmat’

No comments:

Related Posts with Thumbnails