S.Lufia sayang... Cikgu epuLL cinta kamu...

Motif Lakaran Blog

Blog ini di bina untuk menghimpunkan kenangan terindah yang pernah tercoret di dalam diari S. LUFIA. Semua memori yang terukir disemadikan dalam tarian kata dan gambar agar ia terus mekar walau seribu tahun bertakhta di bumi Tuhan. Dalam masa yang sama, S. LUFIA turut mengasah bakat mengarang novel jiwang sekadar memenuhi tuntutan ilusi dan imaginasi yang kekadang terhimpun tanpa tersemai benih-benih bermakna.

Friday, February 11, 2011

Monday, December 13, 2010

BAHAGIAN DUA PULUH LIMA

BAHAGIAN DUA PULUH LIMA
                                                                                                                         
Kalau itu yang terbaik untuk aku. Why not?” ucap Razwan sambil mencapai beg sandang berisi sedikit baju dan kelengkapan diri. Dia benar-benar mengharap pertemuan yang bakal terjadi kali ini mampu mengubah segala. Cinta yang tercalar akan dirawat habis-habisan pada babak pertemuan yang dirancang.
It’s up to You, Wan, hopefully ada berita gembira bila kau pulang nanti” ujar Fadzli penuh semangat. Kata-katanya yang bagai satu roh yang ditiupkan ke tubuh Razwan. Walaupun dia tau itu satu cabaran namun dengan niat yang suci, dia yakin kawannya akan temui sinar yang dicari.
“Eh, tapi kau dah confirm ke dia ada kat sana?”
“Tak ke mananya dia tu, balik-balik ke situ jugak lah tempat dia bercuti. Mama dia pun cakap kat situ. Aku dah selidik semua dah. Tak kan semua nak kena lapor kat kau pulak” jelas Razwan lagi.
“Ooo... dah pergi merisik dulu rupanya”
“Merisik khabar” balas Razwan selamba.
“Dah sarung cincin berlian ke?”
“Huh, risik dalam telefon saja lah! Mana ada masa aku nak pergi rumah dia time kerja. Sebelum dapat tau tu pun, pedih jugak lah telinga aku dengar ceramah tapi layankan saja”
“Ha, baru padan dengan muka kau! Tapi okeylah jugak kan. Sporting gak makcik tu. Kalau aku ar kan, aku suruh kau beli rumah banglo dulu sebagai hantaran balasan. Nak tak nak mesti kau try dapatkan jugak. Dah boleh untung dah aku kat situ. Free-free jer dapat rumah sebijik” seloroh Fadzli. Sengaja dia menambah panas rakannya yang seorang itu. Tangannya tidak sudah-sudah menyusun DVD ke dalam sebuah album poket sedari tadi. Razwan yang mendengar hanya mengerling tajam tanda tidak puas hati.
“Kau memang! Aku tengah serabut kepala ni kau pulak suka tak bertempat” ujar Razwan lalu menuju ke arah keretanya. Dia harus segera. Bimbang lambat pula sampai ke destinasi yang dihajati.
Rilexs lah Wan. Kau ni tension sangat. Bahaya untuk kesihatan beb!” gurau Fadzli lagi. Dia bangun dari kerusi duduknya dan memeluk Razwan tanda sokongan.
All The best my friend, aku doakan kau dapat cinta kau semula” belakang Razwan ditepuk berulang kali. Fadzli sememangnya seorang kawan yang baik. Dia banyak membantu housematenya itu dalam hal cinta. Mana tidaknya, merpati sejoli itu suka sahaja menguis tidak menentu. Mahu tidak mahu Fadzli jugalah menjadi pakar rujuk dan perunding penasihat. Mungkin usia muda Razwan dan sifat manja kedua ‘merpati’ itu membuatkan mereka mudah dijentik dugaan.
Thanks Pali. Okeylah, aku gerak dulu. Doakan aku ya” ujar Razwan tenang mengutus senyuman. Dia terharu dengan sokongan yang diberikan Fadzli. Mereka berjabat tangan sekali lagi. Razwan kemudian masuk ke dalam perut kereta lalu berkira-kira untuk meluncur. Hari yang masih gelap tidak dihiraukan. Dia perlu cepat sampai.
Kaca mata hitam yang tersangkut di cermin pandang belakang dipakai penambah gaya. Pemanduan lancar penampilan terpancar. Begitulah tabiat orang muda. Biar bersawang pemikiran, biar papa kewangan asalkan bergaya. Selang beberapa saat, Razwan dengan langkah seribu harapan berlalu bersama deruman enjin kereta miliknya.

**********

Hello, excuse me could u please pass my call to room A302? saya nak kepastian sama ada dia ada di bilik atau tidak” soal Razwan sebaik memasuki laman hotel yang dimaklumkan oleh Puan Siti Fatimah. Matanya ligat mencari-cari Liana ke setiap penjuru laman. Mana tahu gadis itu ada berlegar-legar di situ.
“Okey sir, please wait for a while” balas seorang penyambut tetamu lalu melangkah menuju ke kaunter panggilan Strawberry Park Hotel. Selang beberapa minit dia kembali mendapatkan Razwan di ruang legar menunggu.
Sorry sir, she is not in her room”
“Okey, thank you very much” balas Razwan. Dia tidak mahu menanti lama di situ. Selagi tidak bertemu ‘suspek’ utama itu, selagi itu dia tidak keruan. Nasib baik Puan Siti Fatimah berbaik hati untuk memberi maklumat penginapan Liana di tanah tinggi itu. andai tidak, alamatnya seharian pun masih belum dapat mencari kekasihnya itu. Mama Liana juga sebenarnya inginkan hubungan mereka berdua kembali barsatu. Adat bercinta pasti ada pasang surut. Cuma badai gelora yang menghempas sahaja mungkin berbeza-beza coraknya.
Enjin ditekan selaju terdaya kawalan. Razwan sudah mencuba menghubungi Liana berulang kali. Ternyata telefon bimbit gadis itu dimatikan. Adakah dia tidak mahu diganggu? Apakah ini suatu helah percutian? Adakah dia berada dalam situasi menghimpit yang menyebabkan dia tidak boleh menghidupkan telefon bimbitnya? Razwan penat untuk menimbulkan persoalan yang dia sendiri tiada jawapannya. Hanya Liana yang mampu memberi jawapan yang pasti. Namun semua itu benar-benar membuat hati Razwan bercelaru dengan ragam karenah dan emosi.
“Tumpang tanya, akak ada nampak wanita ini tak?” soal Razwan sambil menunjukkan sekeping gambar Liana yang memang tersimpan di dalam dompetnya.
Sorry dik. Akak pun baru saja sampai sini. Dari Ipoh tadi, terlajak jalan-jalan terus naik ke sini” jawab wanita itu dengan ramah. Razwan mengangguk senyum lalu terus berlalu.
Hello aunty, you ada perasan tak dia ni lalu dekat sini?” tanya Razwan lagi. Kali ini kepada seorang tauke kedai cina pula. Gambar yang sama ditunjukkan. Jawapan yang diterima juga hampa. Aunty itu menggeleng sahaja.
Sudah puluhan orang di tanya di merata lokasi yang disinggahi. Dia seperti mencari orang yang hilang. Sampai ada kalangan orang yang ditanya menasihatkan Razwan supaya membuat laporan polis. Serba-salah dia memikirkan cadangan itu. Liana bukannya hilang tetapi sengaja menghilangkan diri. Semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari.
Kiri dan kanan jalan tidak dipeduli. Dari gerbang kaktus ke kedai kaktus. Dari taman lebah ke pusat jualan madu lebah. Dari satu deret kedai ke satu warung jalanan. Dari satu taman strawberry  ke satu taman strawberry yang lain pula. Semua sudah diredah. Namun batang hidung Liana masih tidak kelihatan. Hari sudah semakin lewat. Bukan kerana masa mencemburuinya tetapi kerana putaran alam yang tidak pernah mengalah. Dia cemas. Dia mula ragu-ragu dengan kebenaran kata Puan Siti Fatimah.
Pancaran terik mentari yang tadinya menerangi segenap pelusuk tanah tinggi itu kian beransur samar bersembunyi. Lampu neon berwarna-marni bakal mangambil alih tugas mendedah cahaya. Razwan masih berteduh di pohon rimbun berhampiran pintu gerbang Cameron Bharat Plantations. Mata yang kuyu ditonyoh-tonyoh. Ternyata dia sudah benar-benar kepenatan. Penat mencari sang kekasih yang tak kunjung tiba.
Kaki Razwan tiba-tiba longlai rebah menyembah bumi. Tangannya tidak sempat berpaut tangkas pada dahan yang bercabang. Pengunjung yang masih ramai lalu lalang mengerumuni Razwan. Dia tidak pengsan. Terkebil-kebil dia memandang sekeliling. Dia masih mampu melihat walaupun sedikit samar. Mana tidaknya dia tidak menjamah sedikit makanan pun dari pagi tadi. Seteguk air juga tidak mengalir ke dalam pangkal lehernya. Tenaga yang dikerah habis mencurah.
“Encik tidak apa-apa? Nasib baik ini bukit tidak tinggi, kalau tidak...” kata seorang pengunjung Cina yang datang membantu. Dia memangku Razwan untuk duduk.
“Saya okey. Cuma penat sedikit sahaja” jawab Razwan sepintas.
“Encik nak saya bawakan ke hospital?”
“Oh, tak perlu! Terima kasih”
You looked so tired. Hey guy, give him this water” sampuk seorang pelancong asing dari negara Eropah gayanya. Razwan tiada kudrat untuk meneka. Dia hanya tersenyum. Botol mineral yang dihulur dicapai perlahan lalu diteguk sedikit. Tekak yang kering terasa sejuknya. Namun jiwanya masih berbahang.
Razwan seperti badut sarkas yang dikerumuni. Terasa agak malu pada situasi itu. Namun dia bersyukur keprihatinan pengunjung terhadap dirinya. Walaupun sekadar melihat, dia tahu mereka turut bersimpati. Dia kemudian berdiri sedikit tempang. Sakit di kaki masih terasa. Lelaki gelap berambut kerinting yang membantu masih mamapah Razwan. Menjadi tunjang penyokong untuknya berdiri kukuh melangkah teguh.
Seorang demi seorang belalu meninggalkan tempat itu. Bukaan satu sudut pagar manusia di kelilingan tadi tiba-tiba mengejutkannya. Dia terpaku. Matanya tidak berkedip. Mesin fikirnya pantas meneliti, membuat analisis struktur dan ketepatan insan yang berjalan longlai di celahan rimbunan pohon teh yang renek. Lama dia memasang fokus. Ternyata tidak silap. Tubuh itu milik Liana.
“Sayang!...” jeritan Razwan sekali lagi menarik perhatian pengunjung. Dia tidak sedar akan laungannya itu keudara begitu kuat sekali. Suara dari hati yang terluah di mulutnya. Orang di sekeliling memandang pelik. Semua itu tidak diendahkan.
Suara itu amat diingati. Suara yang sering bermain di gegendang telinga Liana bersama gelombang kerinduan. Liana tergamam lalu menoleh seimbas. Dia terdiam seribu kata. Hanya mata hatinya berkata-kata. Wajahnya mengukir senyum yang ayu.
“Zullrazwan...” nama itu terungakap perlahan di bibir Liana. Kakinya tidak terlangkah walau seinci. Matanya sayu bernafas gembira. Seperti episod-episod lalu yang terkalam dalam kehidupannya, alir tangis tetap bersamanya di kala sebegitu. Razwan terhencot-hencot berlari ke arah Liana. Walaupun terasa sakit namun dia tetap terus mengayuh lariannya itu. Misi menitip melodi cintanya untuk berdendang merdu kembali.
Selang beberapa ketika, Razwan bertapak gagah betul-betul di hadapan Liana. Kedua-dua mereka bagai bersatu di dunia sendiri. Mata bertentang mata. Dua jiwa berpadu di dalam satu kantung hati. Suatu rasa yang tidak terungkap dengan kata-kata. Hanya terluah dengan bisikan hati yang sudah tertawan. Pengunjung yang melihat seperti terpanah jampi khayalan. Masing-masing terkaku seperti patung cendana. Mereka juga tersentuh melihat adegan pertemuan merpati sejoli itu.
“Maafkan abang, sayang” ujar Razwan penuh syahdu. Tanpa disedari air mata jantan tertitis jua. Bukti keikhlasan tulus dari hati. Jemari Liana bagai ada suaru arus yang menggerakkannya untuk menyeka titisan itu dari terus gugur. Razwan terkesima. Dia membatukan diri. Dia merelakan kekasihnya menyentuh pipinya untuk tika itu. Lelaki mana yang tidak mahu dibelai begitu? Satu penipuan besar jika sang jejaka yang berkata tidak suka.
“Saya dah lama maafkan awak! Awak saja yang tak tahu” balas Liana lembut.
“Abang dah banyak diduga dengan kisah silam yang memaksa abang untuk berahsia” ujar Razwan lagi. Liana tertunduk lama.
“Saya percayakan awak sepenuh hati saya. Awak jangan permainkan perasaan saya lagi. Janji?” ucap Liana dengan iringan air mata yang semakin deras menderu. Tangan kanannya diangkat terbuka seperti melafazkan ikrar cinta.
“Abang janji! Please trust me sayangujar Razwan. Dia juga mengangkat tangan kanan seperti dilakukan Liana. Kedua-dua tangan Razwan kemudian dihulur ke arah Liana. Dia mengharapkan tangannya itu disambut Liana. Gadis itu merenung ke dalam mata lelaki itu. Sememangnya pautan jemari yang dipohon itu benar-benar ikhlas. Dia dengan sepenuh jiwa menyambut huluran jemari Razwan.
Dua puluh jemari terpaut rapat lalu digenggam erat disaksikan puluhan pengunjung yang masih terus tertancap melihat aksi dua insan di celahan lading teh yang meluas. Bagai ada persembahan drama bangsawan yang menemukan primadona dan sang jejaka. Mereka kemudian masing-masing bertepuk gembira. Romantika kala itu cukup terasa di setiap sanubari. Dalam kesamaran hari yang kian senja, ditakdirkan suatu pertemuan yang menemukan titik bahagia.
“Sudikan sayang terima kembali cinta abang?” soalan yang satu dari Razwan itu menanti jawapan jujur dari Liana. Gadis itu hanya berdiam memandang terus ke dalam mata jejaka yang dirindu. Dia kemudian perlahan-lahan mengangguk sambil mengukir senyuman yang terpancar dari lubuk hati.
“Apa buktinya?” sakat Razwan memikat. Liana tiba-tiba tersentap. Dia serba-salah untuk menjawab persoalan itu.
“Nak mintak sesuatu boleh?” ujar Razwan terus  mengusik. Bibirnya sengaja dimuncungkan. Geli hati dia melihat telatah kekasihnya itu. Liana mula menarik senyum bertukar muncung. Geram dia jadinya dengan mainan Razwan di hadapan khalayak ramai yang mesih tercegat.
“Sudikah sayang menjadi suri di dalam hidup abang?”
“InsyaAllah abang... andai itu jodoh dari-Nya”
“Abang?” tercengang Razwan mendengar panggilan yang pertama kali terluah dari mulut Liana. Sebelum ini kekasihnya itu hanya ber‘saya’ dan ber‘awak’ sahaja dengannya. Gembira tidak terkata hatinya. Mungkin itulah petanda kemuncak keyakinan dalam  percintaan buat Liana. Pintu kamar hatinya sudah tertambat rapi untuk Razwan yang satu. Ternyata hikmah tersembunyi sudah terlimpah. Suatu hamparan rahmat atas ujian dari-Nya. Razwan bersyukur. Dia berjanji dalam dirinya untuk menikahi Liana dalam tempoh masa terdekat. Dia tidak mahu kehilangannya lagi. Serik dan perit saat itu.
“Terima kasih sayang”
“Sama-sama kasih"

I Love You...

 


 

 

TAMAT

Sunday, December 12, 2010

BAHAGIAN DUA PULUH EMPAT

 
BAHAGIAN DUA PULUH EMPAT
                                                                                                                         
Kabus tebal berkepulan lalu bersatu bersama puput bayu pagi. Fenomena alam itu mengaburi pemandangan flora bukit yang tumbuh menghijau. Walaupun terlindung namun Liana dapat melihat kesamaran flora itu dengan jelas melalui ilusi hati. Kedinginan menyapa tubuhnya penuh damai. Satu suasana yang amat diidamkan. Tenang tanpa sebarang gangguan hiruk-pikuk kota yang bingit. Semua itu hanya memberi vaksin peransang barah emosi sahaja.
Kaki halus Liana tidak mampu tertahan akan kesejukan. Lantai berjubin rona putih susu itu seakan beralas ketulan ais. Seketika dia bertenggek di balkoni sebuah kediaman aras tiga Strawberry Park Hotel, sudah cukup untuk membuat kakinya kaku membeku. Dia segera masuk ke ruang bilik lalu mencapai selimut tebal di kamar. Baju sejuk yang tersarung ditubuhnya masih belum mampu memberi kehangatan melawan kesejukan kala itu. Hampir menggigil dibuatnya.
‘Andai ada seseorang yang dapat menemani diriku saat ini, alangkah bahagianya’ omelan hati Liana tanpa sedari. Dia tidak dapat berbohong akan samar rasa yang masih kuat terhadap lelaki yang pertama bertakhtanya itu. Dia amat mengenali lelaki itu setelah bertahun bermain perasaan bersama tanpa jemu. Lama-kelamaan kewarasan akalnya mula menilai kebenaran yang tertusuk di sebalik belukar episod hitam Razwan.
Telefon bimbit yang digenggam sedari tadi menghitung waktu untuk menanti panggilan. Gelombang suara yang amat rindu untuk didengari. Namun hanya mimpi yang terbayang. Liana gagal menangkap akan panggilan yang pernah dibuat oleh Razwan berulang kali kerana bateri telefon yang amat lemah tika itu. Tambahan pula deringan hanya suatu getaran tanpa suara. Ada sahaja lencongan penghalang yang menduga.
Liana juga tidak mengetahui akan sangkaan Razwan yang menggila apabila panggilan terakhir itu termati tanpa diketahui punca. Betapa lelaki itu sangkakan dia diacah untuk merayu kesetiaan. Mana tidaknya, hantaran bicara di email kata begini tetapi apabila dihubungi begitu pula jadinya. Sesiapa sahaja yang berada di tempat Razwan akan pedih merasa azab cinta itu.
Cinta yang yang bertamu jika tidak dilayan memang tidak tertawan. Memang ia akan hadir sendiri untuk menyapa hati. Andai hari-hari lalu asyik terbiasa merindu saban hari manakan pula mampu tertahan arus rasa yang mengalir itu. Walau sudah diikat saluran itu pasti akan teralir juga walau setitis rindu. Inikan pula cinta mereka yang hanya bermandi suram syak yang tiada lingkar kebenaran. Sah-sah voltan kasih itu terus mengalir walau disentuh penebat pemusnah.
Jejak langkah dituruti ke kamar mandi yang cukup besar dan selesa. Andai hendak menelaah pelajaran sekali pun amat sesuai agaknya. Namun berpada-padalah kalau pun taksub hendak belajar di ruang itu. Cermin berbentuk bulat yang tergantung di sudut setentang bukaan pintu bilik itu menampakkan rambut Liana yang tidak tersisir rapi. Dia tersenyum melihat bayang-bayangnya sendiri. Rambut yang berjurai dikibas ke belakang lagak model iklan shampoo. Angan-angan yang tidak tercapai oleh akalnya. Mustahil untuk dia mendedahkan mahkota kepalanya itu kepada umum. Kalau hendak mendengar ceramah mama tujuh hari tujuh malam mungkin dia boleh berbuat begitu. Lagipun Liana juga punyai prinsip termasuk dalam soal hukum yang harus dipelihara.
Tab mandi yang berhias aneka bunga mewangi mula dipenuhi air. Takungan air itu sudah dilaraskan darjah kepanasan agar tidak panas dan tidak pula sejuk. Sesuai untuk berendam dengan aman. Rambut yang ikal digulung rapi membentuk sanggul. Sarung plastik khas yang tersedia di dalam dulang bersebelahan sinki diambil lalu dibungkus bahagian rambutnya. Tubuhnya bakal dimanjakan dengan terapi mandian seperti spa lagaknya. Namun belum sempat kakinya melangkah ke dalam tab mandi, kedengaran telefon bimbitnya menyanyi memberi isyarat panggilan. Kaki yang sudah selangkah diundurkan kembali. Ikatan temali bajunya dikemaskan.
“Adoi, lupa pulak nak off handphone ni. Aku nak berendam pun tak senang” bebel Liana sendiri apabila keluar dari bilik air.
‘Adakah panggilan dari awak?’ getus hati Liana meramal. Dia berjalan pantas ke arah punca deringan itu lalu menatap nama pemanggil di skrin telefon bimbitnya.
‘Nek Wan?’
**********
‘Ada benarnya kata Nek Wan. Keikhlasan kata itu juga yg aku fikirkan sekian lama’ bisik hati Liana sendiri. Tiada sesiapa yang boleh berkongsi cerita bersamanya tika itu. Sengaja dia tidak mahu mengganggu mamanya. Dia sudah menyimpul keputusan untuk bersendiri di situ, maka tiada sesiapa yang boleh mengganggu dan diganggu.
“Kael tu lelaki yang bendul sikit kadang-kadang Yana” perbualan nenek terngiang di daerah deria dengarnya. Kelucuan dalam nasihat. Dia tersenyum kecil.
‘Memang kau bendul bila ternampak perempuan. Pantang ada perempuan yang memujuk rayu, longgar segala sendi. Semua mahu diturut sahaja’ desis hati Liana lagi.
“Dia banyak cerita hal yang berlaku antara kamu berdua. Sampai menitik air mata Kael cerita kat Nek Wan. Tu tandanya dia sayang Yana. Berkali-kali Nek Wan pujuk dia suruh jumpa Yana tapi dia bimbang Yana tak boleh terima dia. Dia nak Yana reda dulu katanya. Lagipun dia sibuk dengan kerja kat sekolah. Cinta, cinta jugak tapi cita sebagai guru tu tanggungjawab dia jugak” pesan nenek yang kembali berdesing di telinga. Segala yang dikatakan Nek Wan tiada yang dapat disangkal. Nek wan tidak berbohong. Daripada kata itu juga dia dapat menilai kekasih hatinya itu.
“Nek Wan harap sangat Yana dapat bagi peluang dekat Kael untuk buktikan kasih sayang dia pada Yana. Cinta tu ibarat lilin Yana. Sentiasa menyala dalam nurani yang tulus. Andai tidak diganggu kilauan cahaya itu, teranglah ia sampai bila-bila. Tapi kalau Yana potong sumbunya, lilin tu akan cepat cair dan akhirnya sinar itu akan hilang, terpadam. Yana nak kehilangan sinar kasih itu?” satu persatu bualan semalam di singkap kembali. Pandai orang tua itu bermadah pujangga. Pasti terpengaruh dengan angin kasih cucunya. Pedih telinga Yana namun dia juga akui semua itu. Kalau benar angkara anasir itu, manakan tidak hatinya kuat berkira-kira untuk terus menampung kolah rindu buat cucu Nek Wan itu.
Liana merenung jauh ke dalam lurah kelopak mawar rona merah hati yang dipegangnya. Perlahan-lahan dia menunduk merapatkan hidungnya ke kuntum bunga itu. Ada bau harum yang menyengat. Sungguh indah ciptaan Tuhan.
‘Aku terima kau bertandang dalam hatiku, tak akan ku halau kau keluar sekejam itu. Tapi di mana kau tika aku amat memerlukanmu?’ setiap rintih hati Liana ketara memberi petunjuk harapan yang tersimpan. Mulut boleh berbohong tetapi hati tiada kuasa yang mampu menyangkal.
Anak tangga dituruni perlahan menuju ke pohon renek mawar dari speasis yang lain. Aneka saiz dan warna kuntum bunga yang mekar mewangi memikat pengunjung yang lalu lalang. Kebanyakan mereka asyik menangkap gambar untuk dijadikan kenangan apabila turun dari tanah tinggi itu kelak. Liana pula tidak minat bergambar. Dia lebih suka menyemadikan kenangan itu di dalam rumpun sanubarinya. Lagipun itu bukan kali pertama dia menjejakkan kaki ke situ sebaliknya sudah berulang kali. Tarikannya hanya satu. Kedinginan yang damai dan taburan bunga berwarna-warni yang memberi ketenangan. Razwan juga pernah menemaninya bercuti bersama keluarga di pusat peranginan itu. Biar berulang kali menjengah ke situ, namun Liana masih belum jemu.
Pepohon berduri rapat-rapat di batangnya itu subur mengeluarkan kuntum-kuntum haruman di Kea Farm, Flower Garden. Setingkat demi setingkat mata Liana menjamah taburan bunga yang kembang berhias di taman indah. Bentuk muka destinasi yang sudah tercipta sebegitu disesuaikan menjadi lereng bertingkat yang disemai dengan aneka mawar dari perbagai jenis keluarga flora itu.
Ada juga kuntum yang hidup tak lama. Berputik kemudian mekar seketika Cuma. Mungkin inilah ibarat kasih manusia. Semakin hari pabila longlai dimamah hayat, maka terpaksa tunduk redup mengalah menyembah bumi. Liana seolah menyelami rintih kelopak bunga mawar yang gugur itu. Tambahan pula sudah hakikat melodi hatinya berlagu bak bunga layu pinta dibelai tika itu. Perlahan-lahan dia membongkokkan diri mengutip kelopak mawar lalu diletak ditapak tangannya.
“Mi, nak nge” kedengaran seorang anak kecil bersuara pelat. Liana menoleh. Terkedek-kedek dia menuruti belakang ibunya sambil dipimpin jemari ayahnya. Anak kecil yang baru belajar bertutur itu menudingkan jari telunjuk ke arah sekuntum mawar di hadapannya.
“Rina nak bunga?” soal ibu muda itu sambil menghalakan kuntum bunga itu merapati wajah anaknya. Tersenyum riang anak kecil itu. Liana terus memerhati gelagat mereka. Kelopak mawar yang masih di tapak tangannya dilepaskan bertaburan ke tanah semula.
“Mangi nge ni” tutur anak kecil itu dalam bahasanya yang pelat namun dapat ditangkap butir bicara itu.
“Memanglah wangi, macam papa kan? Cayang papa sikit?” gurau lelaki muda yang sudah bergelar ayah itu. Pemuda itu kelihatan cukup ceria dan segak bergaya. Dia lantas duduk bertinggung untuk menyamakan paras ketinggian dengan anaknya. Sengaja dia menyua pipi ke arah anak kecil yang comel bertocang dua. Anaknya mengerling sepintas lalu menghadiahkan satu ciuman manja kepada ayahnya. Reaksi spontan yang cukup menyentuh sanubari. Ibunya bertepuk tangan seolah menghargai tingkah laku anaknya itu.
“Pandai anak Ummi”
“Anak papa juga” lelaki itu kemudian menghadiahkan ciuman kasih ke pipi lembut anaknya itu. Terkekek-kekek anak kecil itu ketawa. Amat comel. Pasti dia benar-benar terasa dirinya disayangi.
“Cayang mama pulak” wanita itu cuba melakukan perkara yang sama seperti suamiya. Namun belum sempat dia tunduk, lelaki itu pantas merangkul pinggangnya. Anak kecil itu tercengang-cengang melihat telatah Ummi dan papanya. Hilai tawa manja memenuhi celahan ruang kecil bersebelahan sebuah kedai bunga di taman itu. Liana tersentuh. Dia idamkan saat seperti itu. Entah bila dapat dirasai nikmat kebahagiaan itu. Dia bukan tidak bahagia bersama keluarganya. Malah teramat bahagia. Namun mahligai keluarga yang ingin dibina olehnya itu  menjadi impian. Keinginan yang tidak mampu dibendung. Di kotak fikirnya hanya terfikir satu.
‘Zullrazwan... mengapa kau terus membisu. Tak kan aku yang perlu menangkap debunga cinta itu kembali? Kau yang bakal memimpin. Not me!’ sekali-sekala hati Liana mendengus kesal.
‘Ya Allah, kau bukakanlah pintu hatinya itu’
Langkahan terus maju menerkam rasa yang terpendam. Sejambak bunga mawar segar dari taman itu dibeli sebagai hadiah buat dirinya. Bukan untuk hiasan, bukan untuk kenangan, bukan juga untuk mandian. Hanya sekadar penyunting kasih dan tabiat. Biarpun dia tahu akan penamat bunga itu akan layu namun dia berasa puas kerana mampu menatap dan membawa bersama kesegaran haruman itu. Wanita dan bunga memang tidak dapat dipisahkan. Pasti ada sahaja tafsiran mereka pada kuntuman itu. Inikah suatu cabang cinta yang terungkap tanpa ungkapan dan belaian?
‘Nilai cinta itu bagai azimat suci buat manusia, walau ia tersembunyi tetapi pabila terluah secara lahiriah pasti terserlah suatu nikmat’

BAHAGIAN DUA PULUH TIGA



BAHAGIAN DUA PULUH TIGA
                                                                                                                         
Corong gagang telefon bergegar menghembur gelombang suara garau dari jauh. Nek Wan berkali-kali mengkerutkan dahi menjauhkan gagang yang dipegangnya dari lekapan telinga. Orang tua yang pekak pun boleh memdengar pekikan Razwan menggila menyuarakan hasrat. Nek Wan sudah tidak tentu hala menerima hantaran permintaan cucunya yang seorang itu. Tangannya menggaru-garu kepala. Anak tudung rona hitam yang menutupi mahkota kepalanya sudah hampir terlondeh menampakkan rambut yang berjuntai.
“Apa ke hal nya Kael? Apa yang Kael nak Nek Wan buat ni? Kalau nak masuk meminang pun Kael kena bincang dulu dengan ibu bapa Yana. Nanti kalau datang terjah rumah orang sesuka-hati, Nek Wan bimbang kalau tak diterima orang pulak”
“Kael tak boleh tunggu lagi Nek Wan. Kael nak kahwin hujung bulan ni jugak! Apa nak jadi pun jadilah” sembur Razwan spontan. Semuanya kerana ingin memastikan Liana miliknya. Dia enggan berfikir panjang lagi.  Dia tidak kira apa jua keputusan Liana. Walau dia dimarah disembur api sekalipun, itu juga keputusannya. Matlamat agung untuk mengelakkan semua angkara dari terus-terusan menimpa dirinya.
“Kael jangan macam ni cu. Malu Nek Wan nanti. kael tak sayang Nek Wan ke?”
“Sebab Kael sayang Nek Wan lah, Kael nak Nek Wan gembira....”
“Ya Allah Ya Tuhan ku, dah buat dah cucu Nek Wan ni!” Nek Wan makin buntu menangkap motif sebenar Razwan bertindak sedemikian.
“Kael tak mahu terlepas kali ni, Nek Wan”
“Astargfirullahalazim... cuba bawak mengucap cu”
“Kael sayangkan dia tapi ada saja penghalang. Bila dah nak mula damai, dia pulak buat hal. Saja matikan telefon. Mcm nak cabar kael jer ”
“Dugaan tu nak merapatkan Kael dengan Yana tu. Jangan buat benda bukan-bukan. Nek Wan tak ajar Kael buat benda tak baik kan?”
“Tak apa lah Nek Wan, kalau Nek Wan tak mau tolong Kael. Kael tak mau kahwin sampai bila-bila” Ujar Razwan terburu-buru. Dia sendiri gagal menyambut setiap makna kata yang diungkap. Selang beberapa saat dia terus mematikan talian telefon bimbit.
“Kael... Kael... Kael!” pekik Nek Wan berulang kali. Namun tiada suara bersahut. Nek Wan semakin gundah berserabut. Hanim yang melihat gelagat Nek Wan sedari tadi mulai berasa tidak senang duduk. Sejak berhijrah mengikut kakaknya ke kampung itu dua tahun lalu, sering kali dia menemani Nek Wan. Ada keserasian agaknya. Mungkin begitulah nasib anak dara tua yang masih belum temui seru untuk berumah tangga. Dia gemar menempek di rumah Nek Wan di kala tiba hujung minggu. Itulah rutinnya. Masa itulah dia dapat menjenguk orang tua itu kerana sibuk dengan kerja di Kedai Runcit Wally Bong, sebuah perusahaan kecil-kecilan di Simpang Lawen.
Pisau yang dipegang untuk memotong kacang buncis diletak ke tepi. Hanim lantas bangun merapati Nek Wan. Wanita tua itu masih duduk di sebelah meja telefon menatap gambar Razwan yang terhias di bingkai gambar kulit kerang di atas meja. Butir mutiara jernih gugur satu persatu dari kelopak mata Nek Wan yang berkedut.
Sayu hati mengenang sikap cucu kesayanganya itu. Dia tahu Razwan tidak berniat untuk membuatkan dirinya tersinggung. Berkali-kali cucunya mengadu konflik cinta yang melanda. Dihatinya turut bimbang andai Razwan bertindak diluar jangkaan baginya. Hanim juga turut mengerti akan badai cinta yang melanda Razwan. Sering kali Nek Wan bercerita tentang kisah cucunya itu.
“Alaa.. Nek Wan, biasa lah tu darah muda. Anak muda memang cepat naik angin, buat kerja tak fikir panjang, ikut kehendak hati saja” ujar Hanim menyata pendapat.
“Kesian kat Kael tu, Nim. Dia sayangkan Yana tu tapi Yana pula tuduh dia macam-macam” Nek Wan merintih menyebelahi cucunya.
“Tapi betul juga tindakan Yana tu Nek Wan. perempuan mana yang tidak cemburu kalau bertubi-tubi mendengar kecurangan orang yang dicintai” kata Hanim seolah mempertahan hak seorang wanita yang pernah dilukai. Dia tidak pernah bercinta tetapi sering mencintai.
“Kael tak macam tu Nim, dia tu baik budaknya. Cuma kadang-kadang saja nakal tapi dia tak berani nak buat benda-benda tak baik” balas Nek Wan mempertahan Razwan.
“Memang lah. Saya tak kata pun Kael tu jahat ke... playboy ke mahupun kasanova, cuma apa yang terjadi tu jelas nampak dia bersalah” ujar Hanim menyatakan kebenaran dari sudut matanya. Nek Wan hanya sayu merenung dinding kayu rumah. Dia hanya berdoa agar Razwan mampu mengawal dirinya dan dapat membuat pertimbangan yang terbaik.
“Udah lah Nek Wan. Tak payah nak serabut otak memikir Kael tu. Dah besar panjang dah budak tu. Duk fikir dia nanti berlapar pulak kita. Sayur tu saya buat masak lemak putih campur ikan bilis ya?”
“Buat lah Nim, Nek Wan tak berapa lalu nak makan. Sakit kepala fikir hal Kael ni” jelas Nek Wan. Dia bangun menuju ke arah guni beras lantas menyukat dua tin kecil beras lalu dimasukkan ke dalam besin kecil. Juadah ruji saban hari itu ditanak untuk dijamu tengahari itu. Mulutnya masih tidak henti-henti mengomel memuji cucu kesayangannya. Dari satu kisah ke satu kisah dia mengangkat Razwan mendedahkan kepada Hanim. Wanita itu hanya mendengar walaupun sebenarnya tidak berminat. Dia tetap menyebelahi Liana dan menyalahkan lelaki dalam setiap angkara yang tarjadi.
“Nek Wan ingat lagi, masa dia kecil dulu... waktu tu dia gaduh dengan anak Mek Tipah. Bukan sebab apa pun, cuma sebab seluar dalam dia kena bawak lari masa dia tengah seronok mandi sungai. Budak-budak biasalah, nak melawak tak bertempat” cerita Nek wan terhenti seketika. Air kosong yang terhidang di dalam cawan di atas meja dapur di sua ke mulut lalu diteguk perlahan. Kering tekak agaknya berceloteh sedari tadi.
“Abis tu apa jadi Nek Wan? Berperangkah budak-budak tu?” soal Hanim. Sengaja menduga orang tua itu. Pantang baginya berprasangka buruk terhadap Razwan, pasti ada saja modal untuk pertahankan cucu emasnya itu.
“Huihh... Kael bukan suka gaduh-gaduh. Dia baik budaknya”
“Dah tu tak kan dia gembira je kawan dia buat dia macam gitu”
“Tak de lah gitu. Dia balik ngadu kat Nek Wan, lepas tu siap buat plan atas kertas putih macam mana nak kenakan kawan dia semula, tapi last-last nangis. Tak sampai hati katanya nak aniaya kawan-kawan” ujar Nek Wan sambil tersenyum terkenangkan zaman mudanya menjaga Razwan. Begitu indah kenangan yang terukir bersama suaminya juga ketika itu.
“Alahai Nek Wan, kalau macam tu macam mana nak jadi hero kampung? Senang kena buli saja kalau begitu” mulut Hanim sengaja membidas mencari modal untuk merancakkan bual tengahari itu. Sebelah tangannya cuba menangkap Seekor rerama putih terbang hinggap di langsir jendela betul-betul dihadapannya.
“Rama-rama duk main-main dalam rumah Nek Wan ni, ada tetamu nak datang agaknya” ujarnya spontan.
“Entahlah, dari malam semalam lagi rama-rama tu. Tak tahu lah siapa nak datang”
“Entah-entah hero kampung nak datang pinang saya kot” gurauan yang terucap secara tiba-tiba tetapi penuh makna. Hanim tersengeh gatal.
“Eh, engkau ni Nim! Ke situ pulak dia. Apahal pula nak datang meminang kat rumah Nek Wan?”
“Tak ada apa-apa lah Nek Wan. Saja jer” bibir Hanim mencebik. Dirinya bagai tertampar rasa malu. Lontaran kata seolah teringin benar beralih alam berumahtangga.
“Entah-entah cucu Nek Wan nak datang mengamuk sebab Nek Wan tak mahu tolong melamar kekasih dia tu kot”
“Kau biar benar Nim”
“Mana la tau, hero manja Nek Wan tu dah jadi mafia bila tangkap cintan ni” ujar Hanim bergurau. Sayur kacang yang usai dibasuh dimasukkan ke dalam kuali bersama ramuan lain yang telah ditumisnya. Dapur Nek Wan memercikkan aroma masakan yang sungguh menyelerakan. Di tambah pula bauan sos tiram yang pasti menjungkit deria rasa apabila menikmatinya.
“Hero tak semestinya kena mafia, Nim? Kalau baik peri laku, baik dengan orang sekeliling pun dah boleh jadi hero, semua orang suka” Nek Wan berhujah mempertahankan Razwan. Hanim mengangguk lemah mengiyakan kata-katanya itu. Dia malas mahu memanjangkan bicara, bimbang tersalah kata hingga menyebabkan orang tua itu terasa hati. Buruk padahnya nanti.
“Hero macam tu syukur lah Nek Wan, jangan jadi hero mafia sudah lah” seloroh Hanim. Nek Wan hanya menjeling.
 “Memang Kael nak jadi mafia!” satu suara jerkahan tiba-tiba muncul dari arah pintu dapur. Kedua-dua penghuni rumah di ruang dapur itu masing-masing memandang ke arah bunyi suara yang jelas kedengaran seperti mahu berperang.
“Ya Allah, Kael” Nek Wan yang terkejut memandang kelibat Razwan segera berlari-lari anak mendapatkan cucunya.
“Apa yang Kael nak buat ni? Tadi bercakap dengan Nek Wan dalam telefon, sekarang tiba-tiba dah ada depan pintu ni”
“Kael ada depan rumah Nek Wan jer tadi”
“Bertuah cucu Nek Wan!”
“Kael nak mintak tolong sangat-sangat dengan Nek Wan ni! Tolonglah Kael Nek Wan...” suara Razwan lantas bertukar nada rintih. Jemari Nek Wan digenggam lalu dicium rindu. Lagaknya sudah seperti anak-anak kecil yang meminta belas. Hanim hanya memandang gelagat anak muda itu dari sudut dapur. Lucu juga melihat telatah seorang lelaki seperti itu. Dia hanya mampu tersenyum sendiri.
“Nek Wan boleh tolong Kael tapi rancanglah elok-elok dulu. Jangan duk buat kalut macam ni. Risau Nek Wan!” pipi Razwan ditampar lembut. Orang tua kesayangan Razwan itu amat memahami situasi yang melanda dirinya. Jiwa Nek Wan begitu cepat tersentuh. Air matanya gugur lagi. Dia seboleh-bolehnya ingin melihat cucunya itu gembira dan bahagia. Mereka berdua berpelukan tanda kasih. Episod air mata terus melanda pada pertemuan kali itu.
***********
“Saya dah nasihatkan Wan ni Nek wan, tapi dia degil. Nak ikut kehendak hati sangat” ujar Fadzli memulakan bicara malam itu. Lega hati Nek Wan ketika itu. Suasana tidak setegang siang tadi. Angin yang memukul lembut di dataran kulit juga menambahkan kedamaian dingin malam.
“Ini pun nasib baik hari Sabtu, esok hari minggu masih bercuti. Kalau tidak jenuh dia duk melalak sebut hal yang sama saja kat rumah, risau juga saya dibuatnya. Tu pasal saya teman dia balik hari ni”
“Ah, pandai lah kau pali! Tak kena batang hidung sendiri bolehlah cakap” sampuk Razwan. Mulutnya galak mengunyah kacang goreng yang terhidang.
“Betul lah aku cakap, kau tu dah macam mati bini dah walaupun tak kahwin lagi” balas Fadzli.
“Aduhai, gaduh pulak korang berdua ni! Sudahlah tu, sekarang cuba bagi tau Nek Wan betul-betul, apa yang Kael nak Nek Wan tolong. Terangkan satu-satu” ujar Nek Wan sambil menuang air kopi panas ke dalam cawan di meja tamu.
“Hrmmm...sebenarnya Nek Wan...” Razwan gugup tiba-tiba. Dia serba-salah untuk meminta pertolongan Nek Wan pada kali ini.
“Dah gagap pulak kau, cakap jer lah!” jerkah Fadzli.
“A’ah, cakapkan saja, kalau Nek Wan boleh tolong, InsyaAllah Nek Wan tunaikan”
“Kalau boleh Kael nak Nek Wan bercakap dengan Yana, pujuk dia terima Kael balik” pinta Razwan sayu.
“Oh, itu kah yang payah sangat kamu nak cakap dari tadi”
“Boleh tak Nek Wan tolong Kael ni?”
“Tak apa lah Kael, nanti Nek Wan telefon cakap baik-baik dengan dia. Hati perempuan ni kael, mudah tersentuh. Kau pulak sengaja diam jer. Tak utus khabar berita. Manakan tidak dia tu kecewa dengan kamu”
“Kael sayangkan dia Nek Wan. Cuma dugaan banyak sangat sekarang ni” sambung Razwan. Fadzli hanya tersenyum geli hati melihat rakannya merintih manja kepada Nek Wan. mungkin inilah penangan orang bercinta sebenarnya. Boleh sasau dibuatnya andai tugu cinta yang dibina tiba-tiba retak.
“Kalau Kael cakap dia tak nak percaya, buat apa Kael nak ulang bagi tahu benda yang sama. At last Kael yang sakit hati. Kalau dia sayangkan Kael, kenapa dia tak percayakan apa yang kael cakapkan?”
“Hati perempuan Kael, memang begitulah lumrah” ujar Nek Wan membilas.
“Alahai, Wan! kalau aku dapat tau semua tu pun aku mintak cerai” Fadzli mencelah setelah lama menjadi pendengar. Irama kata yang agak kasar tetapi mereka sudah biasa dengan gurauan sebegitu. Razwan juga sudah lali dengan sikap Fadzli. Mulutnya lancang tetapi hatinya bersih dan pengasih. Nek wan menjeling tersenyum. Sejujurnya itulah realiti yang hendak diluahkan, namun tidak sanggup melihat cucunya sedih.
“Hoi, Kau ni Pali! Cuba lah bagi semangat sikit kat aku. Hampeh betul lah kau!”
“Encik Zullrazwan oi! Aku ni dah tak larat nak bagi semangat kat kau. Dah bertimba aku bagi kata nasihat. Satu pun kau tak ambil endah. Apa aku cakap bukan kau nak dengar pun” ujar Fadzli sedikit geram. Remote TV yang dipegang diacukan ke arah rakannya itu tanda geram.
“Kau orang berdua ni bergaduh jer kerjanya. Kalau anak murid kau tengok, buat malu saja” tegur Nek Wan dengan nada yang sedikit tinggi. Rimas melayan karenah anak muda yang tidak ubah seperti zaman remaja.
“Dah lah, Nek Wan nak solat Isyak. Nanti esok-esok Nek Wan telefon pujuk Yana  tu” tambah Nek wan lantas bangun menuju ke kamar meninggalkan Razwan dan Fadzli terus berborak.
“Kita solat jemaah lah Nek Wan, Pali jadi imam” ujar Razwan memberi cadangan. Fadzli membeliakkan matanya memandang tepat ke arah Razwan. Mengapa tidak cucunya yang mengetuai jemaah? Bukankah lebih afdal?. Namun tidak menjadi masalah baginya. Bukan dia tidak biasa dengan tugasan itu, malah lebih memberi rahmat dan berkat buat dirinya.
“Ha, elok sangatlah tu. nanti Nek Wan bentangkan sejadah kat sini. Kamu berdua pergi ambil wuduk dulu” arah Nek Wan mengendong rasa kesyukuran. Sejuk hatinya dapat berjemaah bersama cucunya malam itu. Suasana malam kian redup bertemankan suara unggas yang asyik bernyanyi merdu. Semerdu laungan Fadzli mengagkat takbir mengagungkan nama Maha Pencipta.
“Allahuakbar!”

Friday, December 10, 2010

BAHAGIAN DUA PULUH DUA


BAHAGIAN DUA PULUH DUA
                                                                                                                         
Raut wajah bonda diperhati dari jauh. Alis lembut terpancar di lingkar matanya. Wajah ibu yang pernah senafas dengan Liana lebih dari sembilan bulan itu cukup tenang. Insan itu juga yang pernah menanggung sarat derita mengendong dirinya ke mana jua haluan jalanan. Sayu hati Liana mengenang di kala itu. ketenangan yang tidak terungkap. Kejuaraan miliknya yang tidak sekali-kali akan dilupakan. Sejujurnya dia menagih damai tika itu. Fasa kehidupan yang tidak mampu baginya hidup sebatang kara. Syukur yang tidak terhingga atas pengorbanannya memelihara dan membesarkan sehingga dia mampu berdiri sendiri ketika itu.
“Mama buat apa ni? Pagi-pagi hari dah sibuk di dapur” tegur Liana sebaik kakinya melangkah ke ruang dapur.
“Mama masak Mee Bandung Muar hari ni, mama dapat resipi dari Cikgu Asyikin. Yana kenal kan kawan sekolah mama yang tinggi kurus orangnya tu? Nanti kita boleh makan sekali” ujar Puan Siti Fatimah mengukir senyuman. Liana hanya mengangguk. Aroma kuah yang siap terhidang benar-benar menggigit deria bau sesiapa sahaja yang menghidu. Jari telunjuk Liana pantas mencuit sedikit permukaan kuah di dalam mangkuk luminarc lalu berusaha mencecah ke lidah. Namun belum sempat jarinya berjaya ke tebing lidah, sudah ditepis oleh mamanya.
“Ha! Nakal tangan tu ye? Tak elok anak dara buat macam tu”
“Alahai, mama! Yana tak leh tahanlah. Bau jer dah tau nak kena makan tambah” jerit Liana bernada manja.
“Kalau akak ada, mesti dia pun tak sabar nak rasa. Tapi dia pulak dah balik oversea. Balik rumah untuk majlis tunang saja hari tu” Liana  sedikit mengeluh. Alangkah bahagia andai semua ahli keluarga dapat berhimpun bersama.
“Kak Faslin kau kan ada kerja nak siapkan paper work untuk tahun akhir dia”
“Untung akak dapat study sampai luar negara. Tapi balik nanti kena masuk dapur juga” gurau Liana tersungging senyuman.
“Iya lah tu. Pandailah dia cakap orang. Mila mana? Tak turun lagi ni, abah dah lama melepak kat luar tu, baca surat khabar agaknya” ujar mama. Liana menyibukkan diri menyusun cawan di dalam dulang. Terasa pula dengan apa yang dirungutkan kepada kakaknya. Usai mengatur set cawan itu, dia menatang dulang ke meja makan di sebelah ruang dapur.
“Mila...! mari turun sayang. Buat apa lagi lama-lama kat atas tu?” jerit Puan Siti Fatimah memanggil anak bongsunya.
“Ya mama...! sekejap lagi Mila turun. Nak kemas sikit lagi baju ni” sahut Mila dari ceruk biliknya. Hari cuti begitu memang digunakan sebaiknya untuk mengemas bilik yang sedikit bersepah. Hari lain dia sibuk dengan aktiviti kolej dan assignment yang menimbun. Masa kepulangan hanya digunakan untuk berehat, menelaah dan tidur sahaja. Tambahan pula jadual hariannya padat sejak dia terlibat dengan aktiviti seni tari di kolej. Setiap petang ada saja latihan yang menuntut dirinya memiliki kekebalan tenaga untuk tidak mengabaikan pelajaran.
“Apa yang bising-bising pagi-pagi ni? Riuh satu taman dengar suara awak anak beranak” ujar Encik Tajul apabila mendengar suara pekik dari dalam rumah. Dia bingkas bangun menjengah isi rumah. Cermin mata tebal setia tersanggut dihidung ketua keluarga itu, sekali sekala dia menolak kembali cermin itu ke paras mata kemudian melorot semula.
            “Biasa lah abahnya, pagi hari cuti macam ni. Semua pakat duk ada dalam rumah. Meriahlah” balas mama sambil menarik kerusi untuk suaminya. Mama kemudian menjemput lelaki yang menjadi penyunting hatinya bersarapan menikmati resipi baru yang dicuba olehnya.
            “Hari ni abah kena tambah tau. Kalau tak tambah, Yana segan pulak nak tambah” kata Liana berseloroh. Dia benar-benar ceria seolah tiada masalah yang menempek pada dirinya. Begitulah sebaiknya. Bayangkan jika setiap masa hendak memikirkan masalah, muka muncung berlapis empat belas sahaja. Pasti akan menghambat jiwa lain untuk turut sama terjun ke dalam sangkar bersawang yang sama.
            “Eleh, Kak Yana! Kalau kat butik tu, bukan main lagi nasihatkan pelanggan yang tempah baju pengantin supaya control makan. Konon nak nampak cutting bila bergaya dengan baju tu time hari bersanding tapi dia...” ujar Mila ketika menuruni tangga ke ruang makan. Dia ketawa kecil. Liana perhati dalam geram kelibat adiknya itu. Mama dan abah cuma memandang.
“Itu kan gimik penasihat professional namanya” balas Liana.
“Pro lah sangat. Nasihat orang pandai, sendiri bikin tengok. Akak pun nak pakai juga gaun pengantin tak lama lagi. Tunggu hari jer tu”
“Huish... pandainya budak ni bagi ceramah! Nanti kau tengoklah hari akak kahwin, badan akak serupa macam pinggang Saloma waktu dia nyanyi lagu bila larut malam dulu-dulu” sambung Liana lagi. Masing-masing tidak mahu mengalah. Telatah mereka sesekali seperti keanak-anakan. Maklumlah sengat manja itu masih terpalit. Tambahan pula belum berjauhan dari keluarga. Rumah abahnya itulah tempat mereka tinggal seharian. Setiap hari mangadap muka yang sama walau seketika. Manakan tidak seperti anjing dengan kucing. Ada saja modal untuk menjari fasal. Karenah adik beradik, isi dan kuku tidak dapat dipisahkan.
“Sudah... sudah... nanti ada juga yang kena piat telinga dengan abah ni karang” tegur abah dengan nada bergurau. Encik Tajul tahu akan anaknya sengaja mencipta keriuhan pagi itu. Namun apabila sudah berlarutan berbalas-balas, pening kepala juga dibuatnya. Dia menadah tangan mengetuai bacaan doa makan apabila melihat semua penghuni sudah duduk mengadap juadah pagi tu.
“Amin” semua serentak mengalun kalimah itu tatkala abah usai membaca doa. Masing-masing menjamu selera dengan sopan dan tertib. Liana membantu mencedok kuah ke mangkuk mama dan abah. Adik Mila pula dibiarkan berbuat sendiri. Mata kedua-dua beradik itu bertentang tanda protes. Wajah itu kemudian mencorak senyum walaupun sedikit kelat.
            “Macam mana perusahaan butik kamu sekarang ni Yana? Banyak dapat tempahan?” soal Puan Siti Fatimah memulakan sesi diskusi keluarga pagi itu. Apabila semua isi rumah bekerja dan sibuk dengan hal kerjaya, bukan senang untuk peroleh masa bersama-sama. Oleh itu, masa berhimpun seperti itu digunakan sebaiknya untuk berbual hal berkaitan keluarga. Mungkin ada kesulitan yang boleh dikongsi dan diselesaikan bersama.
            “Alhamdulillah mama, semua berjalan lancar. Tempahan pun dah makin banyak. Kadang-kadang tak menang tangan dibuatnya. Ramai dah mengenali produk butik Yana tu” jawab Liana.
            “Kamu tak de promote butik kamu kat mana-mana laman web ke? abah rasa lebih berkesan jika perniagaan berurusan melalui web” ujar abah memberi cadangan.
            “Ada, Sasha yang buatkan. Dia pandai sikit bab-bab IT ni. Yana kurang sikit”
            “Kak Yana ni memang, abah. Dia tau main facebook jer. Yang lain dia kurang sikit” sampuk Mila mengacah.
Liana memandang Mila yang tersenyum mengejek. Dia berdengus tanda tidak puas hati. Kepulan kecil air milo panas yang naik ke udara ditiup kearah adiknya. Andai dihembus laju bimbang disedari abah. Mama yang melihat tiba-tiba meledakkan tawa dengan sikap keanak-anakan dua anak gadisnya.
            “Tak boleh lah macam tu. Banyak kebaikan kalau kita belajar bidang IT ni” sambung Encik Tajul memberi galakan. Mama mengangguk turut bersetuju. Mee bandung dijamah enak. Sesudu demi sesudu disua ke mulut.
            “Mana ada abah, Yana belajar juga semua tu. Dengan cara itu jugalah, Sweet Princess Boutique dah makin meningkat maju sekarang” terang Liana gembira.
            “Syukur Alhamdulillah, mama tumpang gembira atas kejayaan usaha kamu. Sasha pun sama juga. Usahasama yang membuahkan hasil”
            “Betul tu mama! Sasha banyak membantu. Mulut dia tu kecoh sikit tapi kualiti kerja memang nombor one!” tambah Liana. Dia sedar akan jasa dan sumbangan rakan kongsinya itu dalam memastikan perniagaan mereka terus meningkat naik.
            “Mama... abah, Yana plan nak pergi holiday kat Cameron Highland next week. Saja nak jalan-jalan tenangkan fikiran” Liana menyatakan hasrat sekaligus memohon izin daripada kedua orang tuanya.
            “Eh, kenapa pula tiba-tiba nak bercuti pulak ni? Tadi kata tempahan banyak” soal abah pantas.
            “Hrmmm... mana boleh terus-terusan bekerja abah. Sekali-sekala kena lah relaxs. Cari mood yang berbeza kat tempat orang” jawab Liana spontan. Hatinya bimbang juga andai abah mencurigai ada sebab lain yang memaksanya untuk ke sana. Sedangkan memang hakikatnya tertanam kocak jiwa yang sedang dipendam.
            “Iya ke nak cari mood? Atau nak cari damai cinta?” mama sengaja menduga anak gadisnya. Dia tahu akan konflik yang melanda. Abahnya kurang arif tentang hal itu. Lagipun Liana lebih banyak berkongsi kisah suka duka bercinta bersama mamanya. Dia berasa janggal dan segan untuk mengadu hal itu kepada abah. Mungkin kerana baginya naluri wanita dan keibuan mama lebih molek mendengar isi hatinya.
            “Eh, mama ni! Ke situ pulak perginya. Tak ada apa-apalah mama, Yana saja nak ambil angin tanah tinggi saja. Nak rasa dingin malam semacam kat negara Korea tu. Mana kot tahu dapat ilham nak perkembangkan butik sampai ke sana” ujar Liana.
Dia semahunya tidak mahu punca sebenar diketahui kala itu. Dia dengan wajah selamba menghadiahkan senyuman kepada semua. Namun hatinya masih gundah memikirkan hal yang satu itu. Mama sengaja memandang tajam ke arahnya lalu tersenyum. Dia tunduk mengadap habuan sarapan yang masih tinggal separuh.
Perbualan keluarga Encik Tajul berhenti sementara. Masing-masing meneruskan suapan demi suapan. Sungguh menyelerakan. Hati Liana sedikit lega tika itu. Dia perlahan-lahan mengangkat muka. Ternyata wajah mama di hadapannya masih memerhati gerak lakunya yang mungkin boleh dibaca. Semua rahsia tergenggam di tangan mama.
“Mama....”
Related Posts with Thumbnails