S.Lufia sayang... Cikgu epuLL cinta kamu...

Motif Lakaran Blog

Blog ini di bina untuk menghimpunkan kenangan terindah yang pernah tercoret di dalam diari S. LUFIA. Semua memori yang terukir disemadikan dalam tarian kata dan gambar agar ia terus mekar walau seribu tahun bertakhta di bumi Tuhan. Dalam masa yang sama, S. LUFIA turut mengasah bakat mengarang novel jiwang sekadar memenuhi tuntutan ilusi dan imaginasi yang kekadang terhimpun tanpa tersemai benih-benih bermakna.

Thursday, July 22, 2010

BAHAGIAN ENAM


*Gambar hanya hiasan

BAHAGIAN ENAM


Buih-buih udara yang keluar dari corong oksigen ditenung dalam. Anak mata Razwan ke kiri kanan mengikut gerak tari ikan emas yang berenang gembira. Ekornya yang gemalai mengurai mencuri perhatiannya. Mahu sahaja dia masuk ke dalam balang kaca itu. Berenang mengikut kehendak hati tanpa perlu berfikir seperti ikan itu. Semua sudah siap tersedia. Alangkah indah begitu.


Bayangan dinding balang yang ditenung sedari tadi bertukar rona. Seorang lelaki botak berdada bidang melintas penuh gaya. T-shirt merah jambu yang berhias di tubuh lelaki itu tetap nampak cocok. Dia bukanlah sejambu warna bajunya. Warna tidak mencerminkan keperibadian si pemakai. Andai bengkok nalurinya, pakai baju hitam sekali pun akan terserlah jua kelembutan jemari yang ayu. Namun Fadzli tidak begitu. Dia lelaki gagah berlengan sasa yang punyai cinta sejati. Kekasih hati yang terpahat di sanubarinya turut dikenali Razwan.


“Payahnya aku dapat kawan yang tengah angau ni, ke mana-mana sahaja berangan tak sudah. Konon dunia tiada orang lain. Semua arah nampak seorang itu saja” ujar Fadzli sambil mencucuh api di hujung batang rokok Saleem beraroma mentols. Lantas Ibu jarinya ditemukan bersama jari tengah lalu dipetik didepan mata Razwan. Terkebil-kebil mata lelaki itu.


“Kau ni Wan, kalau aku cakap kau mabuk cinta, kau marah, tak mahu mengaku. Dah tahap kena jumpa Tok Kadi dah kau ni” Fadzli terus melontar tuduhan tanpa usul periksa. Air wajah Razwan ternyata sedikit berubah. Kata-kata Fadzli sengaja tidak mahu dibidas. Bimbang ada segenggam tangan terangkat yang mewakili perasaannye ketika itu. Silap-silap rakannya itu perlu berkaca mata hitam pula di esok hari.


“So, bila kau nak pergi?” sampuk Fadzli selamba. Menyedari silapnya tersalah merenjis kata.


“Kenapa Encik Akram pilih aku pulak? Macam perli aku je” balas Razwan lemah. Dirinya seolah tidak percaya.


"Habis tu, kau yang buat kerja main-main. Dia nak suruh kau jadi guru cemerlang lah tu” gurau Fadzli. Dia tahu akan tabiat kawannya itu yang cepat panic. Pantang disergah dengan perkara tidak terduga, pasti gelabah semacam. Sebatang rokok ditangan disedut nikmat. Lalu menghembus puas. Bertebaran asap kecil di segenap ruang tamu rumah.


“Tapi time aku hantar laporan tadi, dia siap puji-puji aku lagi. Baguslah. Kerja awak harus dipujilah. Kau rasa dia ikhlas atau puji nak sindir aku?” Razwan terus-terusan menimbulkan persoalan. Hatinya masih belum puas. Pena merah di tangan di putar ligat. Tatkala itu dia sedang menyemak buku latihan pelajarnya yang melambak. Namun tiada sebarang fokus yang terarah ke situ.


“kau biasa rotan pelajar tak?”


“Apa pasal nak rotan-rotan budak pulak kau ni?”


“Takde lah, kalau kau pernah, aku ingat nak try rotan kau pulak” ujar Fadzli selamba.


“Kau ni suka bikin aku marah lah beb. Aku tengah serabut fikir ni. Kau boleh main-main pulak, nanti aku selam kepala kau dalam balang ikan tu baru kau tau” balas Razwan sedikit marah. Lantas jari telunjuknya menuding tepat ke arah balang ikan di hadapannya.


“Emosi pulak cikgu ni. Habis tu, bila student tak faham atau banyak karenah kau pandai naik marah, rotan pelajar. Ni time kau jadi macam tu, aku pulak rasa nak rotan kau. Macam budak-budak berfikir. Rilex lah” giliran Fadzli pula melempar semula kata kepada rakannya. Pening kepala memikirkan ragam Razwan. Hal sekecil guli sengaja difikir sebesar bola ragbi. Rokok di tangan sudah sampai ke hujung. Mahu sahaja di tenyeh puntung rokok itu ke hidung Razwan.


“Tapi Pali, aku rasa semacam saja. Tambah lagi bila Encik Akram tepuk bahu aku before aku keluar bilik dia tadi” keraguan kata Razwan masih melarat. Semua buku latihan yang tadinya ingin disemak ditolak ke tepi. Diketuk-ketuk batang pen ke pinggir giginya.


standard lah dalam kerja kena pergi kursus sana sini. Lagipun kau tu kan orang baru. Tiada hal lah. Aku dulu baru-baru kerja bank dulu pun selalu gak kena joint kursus sana sini.” Ujar Fadzli ingin menenangkan hati Razwan. Dia bekerja sebagai pagawai bank sejak tiga tahun lalu. Usianya juga tua dua tahun dari Razwan.


“Tapi...”


“Ish, Mamat ni. Malaslah aku nak layan kepala kau. Ada-ada saja yang tak kena. Sekarang ni kau pergi masuk bilik tukar seluar. Bersiap ikut aku pergi makan. Aku belanja!” ajak Fadzli beria. Hati Razwan automatik bertukar gembira sebaik dipelawa begitu. Rezeki jangan ditolak.


“Aku pakai kain pelekat ni pun dah okey” seloroh Razwan lantas bergegas ke bilik menukar pakaian. Perutnya tiba-tiba berkeroncong meminta beef stim bercicah sos lada hitam dan daun pudina yang mengiurkan. Alang-alang ada yang mahu sponsor. Gunakan kesempatan menjamu selera sepuasnya. Bisik hatinya merancang menu. Entah-entah mee goreng mamak sahaja menjadi habuan makan malamnya. Dia berkira-kira pada dirinya untuk berlembut lidah dengan Fadzli. Dia seperti ibu yang sarat mengandung pula lagaknya. Mengidam aneka juadah tatkala itu. Hanya masa itu. Andai berbelanja sendiri Maggie goreng pun umpama pizza bersalut cheese.


Masa bersiap adalah satu kewajiban bagi Razwan untuk memastikan dirinya sentiasa tampil bergaya. Walau hendak ke pasar minggu. Walau hanya bersinglet dan berseluar pendek. Semuanya pasti terancang dan sesuai. Dia memang begitu cerewet dalam bab penampilan. Dari hujung rambut hingga ke hujung ibu jari kaki akan dipastikan sempurna. Dia terfikir orang sekeliling sentiasa sahaja memerhatikan dirinya. Perasan segak lagaknya. Leceh sebenarnya begitu. Namun ada baiknya juga. Diri tampak yakin dan punyai aura. Itulah pemikat utama Liana Raudhah.


Enjin kereta milik Fadzli mulai bergegar memberi isyarat. Sengaja mahu mengumpan rakan serumahnya itu untuk cepat keluar. Dia juga rimas dengan tabiat Razwan. Mahu ditegur kelak dibidas kembali. Sebaik hon mahu didendangkan, tersembul mamat perasan keluar di muka pintu. Baju jersi berbelang hijau tertera nombor sebelas memanah mata Fadzli. Geram dihati menunggu Razwan sekian lama. Bayangkan, dia sempat membeli sekotak rokok di kedai burger hujung deret tamannya dan berpatah kembali ke kereta, Razwan masih belum keluar. Tidakkah membuak hatinya? Ikutkan hati mahu sahaja dia membatalkan niatnya itu.


“Cepat lah Pakcik Wan, nanti restoran pak saudara kau tutup nanti, kempunan pula aku nak makan roti nan” jerit Fadzli sayup kedengaran. Suara radio yang rancak keudara mengalahkan ton suaranya.


‘Roti nan? Aduh, melepas semua menu target aku malam ni’ rungut hati Razwan. Kaki kanannya melangkah masuk menghuni kereta milik Fadzli.


Jemari Razwan berkira-kira mahu merancang menu yang lain pula. Seleranya bertukar sederas. Terbayang roti bakar dan nasi lemak ayam berempah di ruang fikirnya. Razwan tersenyum sendiri. Lucu dengan telatah dirinya sendiri. Sebenarnya dia tidaklah memilih makan. Apa sahaja dibedal olehnya. Asalkan perutnya berisi malam itu sudah cukup syukur baginya.


Actually. Aku nak bawa kau teman aku jumpa Zulfa malam ni. Dia tunggu kat Restoran Panca Delima.” Fadzli tiba-tiba bersuara memberi penjelasan. Info terkini tatkala itu yang membuat Razwan sedikit geram.


“Tapi aku sempoi jer pakai. Ko pulak yang beria.” Sambung Fadzli sambil ketawa berbaur sindiran. Sengaja mahu mengenakan rakannya itu.


“Weh, kau ni! Kau nampak tak penumbuk aku ni. Nak jumpa kekasih pun nak berteman. Nanti aku pulak jadi tunggul melangut pungguk bermadu asmara” Ujar Razwan lantas menunjukkan segenggam jemari kanan ke muka Fadzli.


“Alahai, kau ikut saja lah. Aku ada kejutan untuk kau” balas Fadzli selamba.


“kejutan?” terbeliak mata Razwan mengucapkan kata itu. punggungnya mulai panas. Dadanya cemas. Apakah ini suatu jerat yang menanti? Along manakah ingin berjumpa dengannya sedangkan dia tidak pernah meminjam? Benak fikirnya tidak lagi memikirkan soal makanan. Sebaliknya berteka-teki tentang nasib yang bakal menimpa. Fadzli di sebelah tersenyum bermakna. Entah apa motif senyumnya sukar diramal.


‘Masa bila pula Zulfa datang ke Melaka? Bukankah dia bekerja di Puri Pujangga?’ Hati Razwan berbisik lagi.


Satu persatu penghuni jalan raya dipandang kabur. Kereta terus dipandu laju menuju dentinasi dirancang. Kotak fikir Razwan menghimpun seribu satu persoalan yang bercampur bara. Fadzli terus mencorak senyum tanpa henti.


“You wait and see okey”

No comments:

Related Posts with Thumbnails