S.Lufia sayang... Cikgu epuLL cinta kamu...

Motif Lakaran Blog

Blog ini di bina untuk menghimpunkan kenangan terindah yang pernah tercoret di dalam diari S. LUFIA. Semua memori yang terukir disemadikan dalam tarian kata dan gambar agar ia terus mekar walau seribu tahun bertakhta di bumi Tuhan. Dalam masa yang sama, S. LUFIA turut mengasah bakat mengarang novel jiwang sekadar memenuhi tuntutan ilusi dan imaginasi yang kekadang terhimpun tanpa tersemai benih-benih bermakna.

Friday, October 8, 2010

BAHAGIAN ENAM BELAS

 Bahagian Enam Belas
                                                                                                                        
Paparan aneka juadah yang tersergam megah di sudut atas sebuah restoran sungguh menyelerakan. Walau hanya sekadar melihat sudah mampu menjentik deria rasa untuk melakar bayangan aroma masakan yang enak lantas deru mengenyangkan. Bidai buluh yang tersidai di lingkaran kedai menyuntik elemen desa yang damai. Hiasan lampu gantung yang menerangi segenap ruang makan memberi keselesaan para tetamu. Suasana seperti berada di rumah bersama seisi keluarga. Geliga otak pemilik Rahimah’s Kitchen mengumpan ribuan manusia yang lalu-lalang untuk singgah di terataknya yang terletak di Puchong mengisi kantung perut yang berkeroncong.

Kaki kanan Razwan melangkah masuk ke teratak restoran. Dia mengharap suatu keajaiban petang itu. Langkah kanan yang memberi nyawa kepada cintanya. Sedari tadi panggilan buat Liana tidak berjawab. Hatinya ragu, jiwanya buntu. Dia sudah bersedia menerima angin suram yang mungkin bertiup kencang di ruang redup. Sebaik mengambil duduk di satu sudut berlatar awan biru yang terang, dia cuba sekali lagi membuat panggilan.

Sorry, please try later” suara operator yang sudah di set itu entah ke berapa kali didengari. Dialog robot itu lama-kelamaan menyakitkan hati sahaja.

Hello Sha, Lia ada kat butik tak sekarang?” persoalan pertama yang tersembur dari mulutnya setelah talian perhubungan bersama Sasha disahut.

“Weh, kau ni buang tabiat ke apa? Dah lama couple dengan Lia pun, still tak tau every week hari ni memang off ke? Ko demam kah?” Sasha mengepoh menjawab panggilan Razwan.

“Hrmmm... okey lah. Thanks for the info. Bye!” talian terus dimatikan. Sasha di hujung talian gelombang terpinga-pinga. Dia cuba menangkap suasana situasi Razwan dengan andaian yang sakerat jalan. Dia malas mahu mencampur urusan kawannya itu.

Pintu selera yang baru terbuka, tertutup kembali. Dia bingkas bangun menuju ke kereta. Janji yang termaktub akan ditunai. Dia nekad akan ke kediaman Liana andai wanita itu tidak bertandang seperti dijanji. Segala penjelasan perlu ditiup ke telinga kekasinnya agar segala kekusutan dapat terlerai. Enjin kereta dihidupkan lantas meluncur laju membelah jalan. Dedaun kering yang bertaburan di pinggir jalan berterbangan tanpa hala. Senada dendangan rentak hati Razwan yang berkecamuk.

***********

Tangan kiri Razwan pantas menarik hand break. Empat roda berhias sport rim dari jenis Wedsports RS5 terkunci dari bergerak walau seinci. Keretanya kini sudah menapak benar-benar di hadapan syurga Liana. Stering yang mesih erat dipegang diketuk-ketuk tanpa irama. Dia mencari rentak untuk memulakan bicara pertamanya bersama Liana nanti. Keyakinan yang berbaur rasa bersalah. Dalam kesibukan menggerakkan jentera fikirnya untuk memetik idea kebenaran, matanya tiba-tiba khusyuk memandang deretan kereta yang turut bertapak di halaman rumah kekasihnya.

‘Mengapa begitu banyak kereta yang berhimpun di dataran rumah dia pulak ni? Rombongan mana pula datang menyinggah?’ Razwan  bermonolog sendirian sebaik empat roda keretanya menapak ke syurga Liana. Dia pelik. Wanita yang menjadi bunga di taman cintanya itu tidak pula memaklumkan apa-apa majlis atau keramaian yang berlangsung pada hari itu. Dia mula berteka-teki.

Segala andaian negatif yang bersawang di fikirannya ditepis jauh. Razwan selamba keluar dari keretanya dan melangkah dengan bergaya. Bayangan Liana bermain-main di taman otaknya. Dia berjalan merenung lantai laman sambil berdoa di hati agar misinya berjaya hari itu. Warkah penjelasan perlu dibentangkan hari itu juga. Dia tidak mahu berlengah. Bimbang kelak tidak terpikul beban.

Kepala yang menunduk sedari tadi diangkat mengadap tepat ke hadapan. Kemudian anak matanya terpanah ke arah Liana dan Puan Siti Fatimah yang ramah berbalas bual di ruang tamu. Bakal bapa mertua yang masih menjadi harapan pula kelihatan asyik berbincang bersama kelompok lelaki yang hampir sebaya dengannya. Semua ahli rombongan yang bertandang tidak dikenalinya sama sekali. Keasyikan berbual menyebabkan kelibat Razwan tidak disedari. Dia Cuma berselindung di sebalik tiang sebesar pemeluk di laman berjubin biru cair. Dia hanya memerhati dan menangkap bual bicara dari jauh.

“Dekat rumah ni ada tiga kuntum bunga, bunga yang mana menjadi idaman?” ujar Nek Jannah menguntum senyum. Nenek Liana sebelah bapanya nampak muda walaupun sudah berusia. Mana tidaknya, dia tidak melepas dari mencuba sebarang jamu yang terbaik ditawarkan kepadanya. Razwan dan Liana juga pernah menemaninya membeli jamu orang kampung di sebuah sebuah stokis di Jusco Shah Alam.

“Saya ni tak kisah. Besar tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Tapi kenalah tanya empunya badan dahulu. Sekarang ni anak-anak kita masing-masing punyai pilihan. Bukan boleh dipasangkan sesuka hati” tutur Puan Siti Fatimah lembut.

“Alahai Kak Timah, buat apa nak simpan anak dara lama-lama? Saya tengok dah masak ranum dah tu, elok sangatlah kalau dijamu. Elok dijodohkan saja Kak Timah oi!” seorang wanita berkebaya merah menyala berseloroh tiba-tiba. Kepalanya yang berhias sanggul siput terselit sekuntum bunga mawar merah. Cocok dengan lagak suaranya seperti mami jarum di jeti Pulau Pinang yang ditemui Razwan suatu ketika dahulu.

“Iya lah Kak Timah, budak-budak sekarang ni lebih baik dicepat-cepatkan. Risau kalau-kalau duk kerap sangat diusung jantan, lain pulak jadinya. Nangis bernada lagu Tahajjud Cinta pun tak guna dah” sambung seorang lagi wanita gempal berbaju kurung jalur melintang. Tubuhnya yang lebar tampak lebih melabu dengan hiasan busana pilihannya. Liana kelihatan menunduk malu. Razwan runsing. Rombongan yang hadir ternyata ingin menghantar pinangan. Namun persoalan yang mengaum di telinga Razwan adalah tentang calon pinangan itu. Siapakah gadis yang dimaksudkan sedari tadi?.

‘Mengapa dia saja yang duduk di situ, mana adiknya. Kakak dia memang ada kat over sea, study. Apa pulak rahsia budak ni?’ getus hati Razwan. Jiwanya semakin panas mentafsir andaian. Semua kebarangkalian dihimpun di laci fikirnya. Mahu sahaja dia menyergah penghuni rumah itu untuk mendapatkan kepastian.

“Lagi cepat mereka bersatu, lagi cepatlah kita berbesan” ujar Puan Siti Fatimah mengiring tawa. Liana mula bergerak menuang air yang sudah terhidang ke dalam cawan. Dia kemudian duduk semula disisi ibunya. Razwan masih curiga. Suhaimila tidak pula kelihatan bertempek di sebelah ibunya. Perasaan gusar dan cemas jelas terpancar pada wajah tampan Razwan.

“Kamu macam mana Lia, setuju kah?” soal seorang wanita bertudung ekspress rona ungu benar-benar mengejutkan Razwan. Mengentap urat yang menyalur darah ke salur jantungnya. Matanya tertuju kaku ke arah Liana.

Razwan yang setia mengintai di sebalik tiang tergamam dengan gerak kepala Liana. Anggukan yang membuatkan dirinya terkesima. Terkedu menelan air liur. Darah panasnya menyelirap ke darjah meksimum. Dirinya seolah berada di dalam suatu mimpi ngeri. Kakinya pedih tiba-tiba. Semut merah yang nakal menggigit kakinya. Ternyata dia di alam nyata. Dia menunduk lalu menenyeh lumat semut merah sekecil benih cili.

“Mengapa dia setuju? Ya Allah, apa motif semua ini? Apa status aku di hatinya kini sebenarnya? Apakah semua ini suatu lakonan drama komedi?” butir bicara itu diungkap perlahan. Setiap persoalan menumbuk-numbuk jiwanya. Dia seolah tidak percaya. Mahu sahaja dia menghentikan babak tika itu. Membatukan semua penghuni rumah itu lalu membawa lari kekasihnya itu. Namun tiada kuasa yang melonjakkan dirinya untuk berbuat demikian. Dia tidak mahu menjadi kumbang perosak majlis.

Tiang rona putih susu yang teguh berdiri ditumbuk perlahan. Razwan seperti tidak boleh menerima gerak kepala Liana yang menyetujui permintaan hantaran pinangan itu. Dia tidak mahu berdiri lagi di laman itu. Bimbang amarah mudanya kelak memaksa dirinya bertindak diluar jangkaan. Sepasang kaki miliknya mendapat isyarat untuk berlalu pergi. Mentari yang tinggi beribu-ribu batu seperti sedang berada sejengkal di atas kepalanya. Panas seluruh tubuh dibuatnya. Langkahan demi langkahan dituruti dengan hampa.

Punat di bahagian radio ditekan sebaik enjin kereta dihidupkan. Selang dua saat kemudian suasana bingit menghentam segenap ruang kereta. Bunyi bingit itu umpama hati Razwan yang berdentum-dentum meraung menggila. Dia gemar begitu. Sudah menjadi tabiat menyumbat deria pendengarannya dengan irama yang bingit sebagai cara melepaskan tekanan yang mencengkam. Meledakkan segala rasa ke dasar perasaan. Walau masih keruh namun rona kejernihan seakan melambai dan mengusap dada yang menggelegak.

Deruman enjin kereta mengaum meninggalkan dataran perumahan itu. Asap hitam berkepul-kepul dikirimkan bersama udara memberi isyarat kemarahan dan ketidakpuasan. Apa jua berlaku, hidup harus diteruskan. Tiada kematian andai kekasih menghembus kepiluan. Tiada kiamat andai kekasih melempar sembilu. Tiada tsunami andai kekasih berkerat rotan. Namun luka yang terguris parah kadang kala memaksa semua itu untuk berlaku tanpa diduga. Kuasa emosi bagai badai gelora yang menghempas pantai di ufuk jiwa. Terasa tetapi tidak terhampar. Kepulangan Razwan merintih duka.

**********

Jemari sepuluh sempurna ditadah memohon petunjuk dari-Nya sesudah memberi salam solat Isyak. Razwan hanya berharap pada yang Maha Kuasa. Dia yakin hikmah yang tersembunyi di sebalik ujian yang diturunkan. Usai berdoa, dia bangun menuju ke almari pakaian. Kopiah putih yang dipakai disangkut di bidai katil. Kain yang tersarung dilucutkan diganti dengan seluar pendek. Baju pagoda yang dipakai tidak berganti. Begitulah pakaiannya seharian di kala malam. Anak bujang sepertinya memang selesa berpakaian ringkas di rumah.

Lattop mini yang tersimpan di dalam beg galas di bawa keluar ke ruang tamu. Hajatnya mahu melayan cerekarama Melayu malam itu sambil menjengah laman sosialnya. Menjenguk andai ada info terbaru yang berkaitan dengan dirinya. Rancangan pengajaran untuk keesokan hari sudah siap diuruskan. Dia tidak mahu mencampur adukkan urusan kerja bersama karenah peribadi. Kedua-duanya ternyata berbeza. Cuma sesekali kedua-duanya terperangkap tanpa disengajakan. Ragam emosi dan hati yang sukar dibendung.

Balang yang berisi biskut jagung bergula dibuka lalu diambil keluar beberapa keping. Biskut kering dimakan penuh selera. Mungkin kelaparan kerana masih belum menjamu hidangan di malam hari. Razwan tidak berminat untuk keluar membeli makanan malam itu. Apa yang terjamu di hadapan mata di sapu sahaja tanpa banyak songeh.

Kalau Fadzli ingat akan dirinya, ada jugalah bekalan malam itu. Rakannya itu keluar bersama rakan sekerja sejak maghrib lagi. Fadzli Cuma memaklumkan kepadanya bahawa dia menghadiri jamuan hari lahir anak buah di tempat kerja. Urusan lain tidak pula diketahui. Razwan pula enggan bersoal jawab kerana penat setelah sekian lama memandu. Kepenatan ditambah pula dengan kekusutan jiwa dan fikiran yang cuba dipujuk sendiri.

Skrin televisyen yang menayangkan aksi Khatijah Tan dan Kartina Aziz dalam drama ayam pencen ditonton tanpa fokus. Cerita itu hanyalah siaran ulangan bagi Razwan. Siaran lain tiada pula minat untuk ditonton. Jiwanya kembali meradang kecil. Babak petang tadi kembali bermain tanpa dipinta. Lattop yang sudah lama terpasang ditatap lama. Laman yang menghimpunkan rakan seantero pelusuk dunia secara maya. Tiada nama lain yang hendak dicari. Nama Princess Liana di taip pada ruang search lalu simbol kanta pembesar sebesar kacang parpu di klik. Dia mengeledah ruangan facebook Liana. Menyemak segala post dan foto milik wanita itu. Tiada apa yang menggambarkan kecurangan kekasihnya. Namun bisul curiga tetap membengkak di hatinya. Tetap tidak susut. Emosinya berperang di kala itu. Jari jemarinya laju menekan butiran keyboard yang tersusun di dataran lattop.

Salam,
Mengapa sayang menolak cinta abang? sayang menolak cinta abang mentah-mentah. Apakah abang tidak sempurna di mata sayang? Adakah hanya kerana ‘tragedi’ semalam, sayang terus mengubah haluan cinta kita yang telah lama disemai. Di mana letaknya abang? abang tidak sesuai dan setaraf dengan sayang kah? Abang cintakan sayang sepenuh hati.  Tiada dua, tiada tiga. Andai itu yang dilakarkan, abang tidak dapat memadam melodi hati itu. Mungkin rebab yang mengalun merdu dulu, kini sudah bertali sabut. Abang hanya mampu berharap. Tidak akan terhenti noktah harapan itu...
Razwan menghemburkan segala amarahnya yang membungkam dalam irama kata. Dia enggan mengalah melawan jiwa yang meragam dalam diam sedari tadi. Hati yang terguris sukar diubati sepantas kilat. Namun tiada guna dilayan karenah itu. Kelak sendiri yang menggila. Lattop miliknya ditutup. Segala yang terbuku sudah terluah di medan maya tanpa sempadan. Malam yang kian larut terus membawa suara melodi hati Razwan yang terpendam. Bayangan suatu konflik cinta terus hanyut di bawa mimpi lara. Dia mengharapkan hari esok akan memberi suatu sinar yang mampu mencoret senyuman di pagi hari nan indah.

‘Badai yang melanda bukanlah racun bagi Razwan untuk terus lumpuh dalam cinta yang dibina’

No comments:

Related Posts with Thumbnails