S.Lufia sayang... Cikgu epuLL cinta kamu...

Motif Lakaran Blog

Blog ini di bina untuk menghimpunkan kenangan terindah yang pernah tercoret di dalam diari S. LUFIA. Semua memori yang terukir disemadikan dalam tarian kata dan gambar agar ia terus mekar walau seribu tahun bertakhta di bumi Tuhan. Dalam masa yang sama, S. LUFIA turut mengasah bakat mengarang novel jiwang sekadar memenuhi tuntutan ilusi dan imaginasi yang kekadang terhimpun tanpa tersemai benih-benih bermakna.

Tuesday, July 13, 2010

BAHAGIAN TIGA


*Gambar hanya hiasan
BAHAGIAN TIGA


"Mohd Zullrazwan Mikael Bin Suhaimi”


Pemilik nama itu lantas berdiri apabila dipanggil oleh Puan Kalsom kechot. Singa betina yang salah memilih sekolah. Sewajarnya beliau bertugas mendidik anak gajah dan singa di kandang sarkas. Silap-silap dipijak lumat dibaham rakus perempuan itu. Haiwan pun mungkin naik menyampah. Ramai pelajar tidak gemar akan sikapnya yang garang tidak bertempat. Salah sedikit mengaum serimba. Tambah-tambah lagi jika Suffian Hamidi diapa-apakan. Semua mahu dibela walaupun anaknya itu yang bersalah.

“Kamu ingat sekolah ni tempat nak ternak lanun? Nak jadi genster? Belajar baru tingkatan tiga. Hingus baru nak kering. PMR pun tak tentu lulus lagi. Sudah nak tunjuk belang. Apa nak jadi dengan kamu ni Mikail?” tengkingan ‘singa betina’ itu mengejutkan sebuah bangunan sekolah yang sedang beroperasi mencurah ilmu.

“Tapi cikgu. Saya tak salah” belum sempat dia meneruskan hujah membela diri, satu tamparan percuma hinggap dipipinya. Kebas sampai ke dagu. Semua rakan memandang. Malu juga berada dalam situasi begitu. Mahu sahaja dia berlari berkurung di dalam
toilet. Busuk pun busuklah. Asalkan tiada yang memandang.

“Tak salah? Sampai berdarah hidung Pian dikerjakan kamu. Tak salah kata kamu?” suaranya kian meninggi. Sebelah tangan mencekak pinggang, sebelah lagi memiat keras telinga Razwan. Dia terus membisu. Tiada peluang mulutnya bersuara menegakkan isi sokongan.

“kalau kamu tidak mahu patuh peraturan sekolah, suruh mak bapak kamu bina sekolah khas untuk kamu. Didik kamu sampai kenal adab sopan. Buat naya anak orang saja duduk sekelas dengan kamu” habis kemarahan disembur keluar.

Hati Razwan tersentap. Ditenung mata cikgunya dalam-dalam. Kecil sebesar biji sagu sahaja pada tenungannya. Jari-jemari digenggam erat-erat. Ungkapan Cikgu kalsom bagai menyiram cuka di luka yang parah. Mengapa harus dikait ibu bapanya yang sudah tiada? Apa salah mereka? Mereka tiada kena-mengena dalam hal ini.

Pantang sekali dirinya diterjah dengan kata yang melibatkan ibu bapanya. Tidak tahukah guru sarkas itu bahawa dia anak yatim piatu? Andai ibu bapanya masih hidup sekali pun, tidak tergamak dia menerima ujaran tidak bertapis itu. Satu penghinaan baginya. Tangan guru kepalang ajar itu tiba-tiba terangkat ringan mahu menampar Razwan buat kali kedua. Namun tidak berjaya. Tangan berhias gelang emas celup itu ditepis sekuat hati.

“Cikgu jangan nak babitkan ibu bapa saya dalam hal ini, Tuhan lebih sayangkan mereka daripada cikgu!” kemarahannya meledak. Terbeliak anak mata Cikgu Kalsom. Sedikit kesal dengan keterlanjuran kata.

“Anak cikgu yang bengong, tidak cukup akal. Habis beg sekolah dan pensil
box saya. Pian masukkan katak dengan telur tembelang, elok sangatlah perangai anak cikgu macam gitu? Emaknya yang mengajar ke?!” nada katanya menggerunkan pelajar sekeliling yang memandang. Dari ceruk planet mana datangnya tenaga itu tiada diketahui. Yang pasti kata hatinya memang benar-benar memberontak. Menggigil tangannya tanpa diduga.

“Kurang ajar punya budak! Baguslah cakap dengan cikgu begitu. Kecil-kecil dah tiada adab. kaki gaduh, kaki melawan cikgu. samsenglah konon. nanti besar jadi mafia. Memang itu cita-cita kamu agaknya? Nak jadi mafia? Berlatihlah dari kecil. Bagus!” perli bercampur marah kata-kata Cikgu Kalsom. Kakinya lantas melangkah menyusun gerak ke bilik guru. Tidak mahu diteruskan perdebatan itu. Guru-guru lain hanya memandang sinis. Memang salah anaknya. Warga bilik guru Sekolah menengah Kebangsaan Kati, Kuala Kangsar juga tidak suka akan sikapnya yang suka menimbulkan isu.

“Memang saya mafia! Selama ini saya hormat cikgu, tapi kali ni sorry!” Razman terus membidas kasar. Puas hatinya seketika.

Tanggal lima Ogos setiap tahun adalah hari lahir Razwan. Sehari sebelum hari itu sudah dirancang pelbagai kejutan oleh rakan-rakannya. Pelbagai hadiah diperoleh. Dia memang mesra alam. Sikap itulah menjadi pendorong baginya mudah mendapat kawan dan disenangi kawan. Sama ada seusia mahupun yang ber
status adik, kakak atau abang. Al-Hafiz dan Hazwani, young couple tersohor sekolah itu antara rakan setia yang memberi hadiah istimewa. Mereka berkongsi wang saku membeli sebotol semburan pewangi badan Dashing for men buatnya. Suka tidak terkata Razwan sekali-sekala mendapat hadiah dan ucapan gembira.

Apakan daya ada juga insan yang cemburu akan Razwan. Tentunya Pian yang sering membuli dirinya. Entah mengapa dia diperlakukan demikian. Dia sering tertanya-tanya. Bukan dia ada mengejek atau melontar batu kepada anak Cikgu Kalsom itu. Apatah lagi mengganggu hidupnya. Malas mahu difikir. Namun terpaksa juga untuk berfikir. Bayangkan sebiji telur tembelang mencemar kotak pensilnya. Alangkah sedap aroma menjemput langau dan lalat. Bukan itu sahaja, seekor katak puru mengejutkan razwan apabila meraba buku sains dalam begnya untuk dibawa bersama ke makmal. Sungguh menyakitkan hati. Sewajarnya dia memberontak mempertahankan hak.

Ruang kaki lima berhampiran bilik guru kecoh dengan perbincangan ahli mesyuarat tingkap. Setiap kali guru yang lalu lalang di situ pasti bertanya sesama rakan sejawat tentang pertarungan emosi yang bersejarah pada ulang tahun hari kelahiran Razwan. Masing-masing mengutuk tingkah laku Cikgu Kalsom dan anaknya. Pasti dia malu menerbitkan drama sebabak di sekolah pagi itu. Sengaja mahu dikecoh-kecoh hal pelajar tanpa usul periksa. Hendak mencari publisiti murahan gamaknya.

Diteropong sedalam-dalamnya, beginikah perangai seorang guru? Oh, tidak. Hanya kerana setitik nila rosak susu sebelanga. Seorang guru bermain arang, satu sekolah terpalit hitam di muka. Kalau begini rentak dan melodi tercipta, dimana bukti semangat irama setiap bait kata dalam lagu kami Guru Malaysia. Oh tidak.

“ Kami guru Malaysia,
berikrar dan berjanji,
mendidik dan memimpin,
putera puteri negara kita.”


Bukan semua guru begitu. Kalaulah ditakdirkan gaya sebegitu, rosak pemikiran anak bangsa. Oh tidak. Berkali-kali hati Razwan berteka-teki. Jawapannya tetap memilih ejaan berhuruf lima, TIDAK dan SALAH. Tepat tanpa ragu-ragu.

Suatu hari dalam sejarah aku dipanggil 'mafia'. Sedap juga bermain dengan
title itu. Razwan bicara bersama hati yang kembali tenang. Dia terima dengan senyuman tawa. Selembar memori terungkap sejenak. Kereta terus meluncur laju ke destinasi. Razwan oh Mafia.

No comments:

Related Posts with Thumbnails